Hannah Yeoh fail notis bankrap terhadap pensyarah UUM gagal bayar RM400,000

Dari kiri: Hannah, Kamarul Zaman
Dari kiri: Hannah, Kamarul Zaman
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memfailkan notis kebankrapan terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff kerana gagal membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 berhubung dua kenyataan fitnah pada 2017.

Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah selaku plaintif berkata, notis itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Julai lalu terhadap Kamarul Zaman selaku penghutang.

Menurutnya, notis kebankrapan tidak dapat kepada Kamarul Zaman maka pihaknya memohon bagi mendapatkan perintah pada 29 Julai lalu untuk menyampaikannya melalui perkhidmatan gantian termasuk iklan dalam akhbar.

“Kamarul Zaman telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan pembayaran berkenaan atas alasan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Tiada lagi perintah mengenai penggantungan keputusan mahkamah itu, memandangkan permohonan tersebut akan didengar pada 28 Ogos ini.

“Oleh itu anak guam berhak untuk menguatkuasakan penghakiman mahkamah pada 30 Mei lalu,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan, Kamarul Zaman diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 kepada Menteri Belia dan Sukan itu berhubung dua hantaran fitnah di laman sosial Facebook pada lapan tahun lalu.

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Hannah terhadap Kamarul Zaman selain mendapati pemimpin DAP itu berjaya membuktikan kesnya.

Ia membabitkan ganti rugi am dan teruk, masing-masing sebanyak RM200,000 bagi setiap penerbitan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Ahli Parlimen Segambut itu selaku plaintif.

Bagaimanapun, Hakim, Aliza tidak membenarkan permohonan plaintif supaya Kamarul Zaman selaku defendan memohon maaf kerana berpendapat ia tidak akan menjadi ikhlas.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah, Becoming Hannah: A Personal Journey bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebook miliknya itu tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!