Tekanan tektonik serantau punca gempa bumi lemah di Segamat

Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 menggegarkan Johor pada jam 8.59 pagi Rabu. Foto: MetMalaysia
Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 menggegarkan Johor pada jam 8.59 pagi Rabu. Foto: MetMalaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 yang berlaku di Segamat, Johor pada Rabu berpunca daripada pengaktifan semula sesar Mersing akibat tekanan tektonik serantau.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berkata, Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil namun menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.

Menurutnya, tekanan tersebut berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar di Semenanjung Malaysia yang boleh menghasilkan gempa bumi bersaiz kecil hingga sederhana.

"Semakan awal peta seismotektonik menunjukkan pusat gempa Segamat berada berhampiran lanjutan sesar Mersing yang berorientasi barat-barat laut hingga timur tenggara.

"Analisis awal seismologi mendapati gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral iaitu blok kerak bumi di utara sesar bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar bergerak ke arah timur.

"Kejadian itu menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan manakala kedalaman gempa cetek (±10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada jam 8.59 pagi Rabu di Segamat, Johor, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di negeri itu serta selatan Pahang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gempa bumi itu berlaku di kira-kira 18 kilometer selatan Segamat, berpusat pada koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

Tambah JMG, sejarah gempa bumi di Semenanjung Malaysia turut merekodkan beberapa kejadian terdahulu antaranya di Bukit Tinggi (Pahang), Kenyir (Terengganu), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) serta Manjung–Temenggor (Perak).

Artikel Berkaitan:

"Johor juga pernah mengalami gegaran kecil pada 2021 dan 2023 yang berpunca daripada aktiviti seismik di luar pesisir Sumatera.

"Kesemua insiden termasuk gempa di Segamat ini menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari masa ke masa dan menghasilkan pergerakan bumi," katanya.

Sehubungan itu, JMG menegaskan pemantauan seismik berterusan, pemetaan semula sesar serta pembangunan sistem amaran awal perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan melindungi infrastruktur sedia ada.

JMG bersama MetMalaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memperkukuh pemantauan serta analisis saintifik di kawasan berisiko bagi menghadapi ancaman gempa bumi sama ada yang berpusat dalam negara atau berpunca daripada aktiviti seismik di negara jiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!