Gempa bumi Segamat: Jambatan, jejantas dan empangan tidak terjejas

JOHOR BAHRU – Gempa bumi lemah yang berlaku di daerah Segamat pada Ahad tidak menjejaskan infrastruktur awam termasuk jambatan, jejantas dan empangan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perkara itu disahkan hasil pemantauan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di lokasi gegaran.
“Dalam radius lima kilometer dari pusat gegaran, sebanyak 47 jambatan di jalan negeri, 14 jambatan di jalan Persekutuan dan 10 jejantas didapati berada dalam keadaan terkawal serta stabil.
“Ini termasuk beberapa empangan di bawah seliaan JPS seperti Empangan Bekok di Segamat, Empangan Sembrong di Batu Pahat dan Empangan Macap di Kluang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa pemeriksaan dan pemantauan berterusan akan dilakukan oleh JKR Johor ke atas semua jambatan, jejantas dan jalan raya di kawasan terlibat.
Selain itu, JPS Johor juga akan memastikan tahap keselamatan empangan berada dalam keadaan stabil serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat kesan atau kerosakan struktur.
“Semua maklumat rasmi dan perkembangan terkini hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi agensi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan atau spekulasi,” ujarnya.
Pada Ahad, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dikesan pada 6.13 pagi di Segamat, disusuli gegaran kedua bermagnitud 2.8 di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari barat laut Kluang.
Johor pernah merasai gegaran kecil pada 2021 dan 2023, namun pusat gempa ketika itu terletak di perairan luar pesisir berhampiran Sumatera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

