Gempa bumi lemah 3.2 magnitud dikesan di Segamat

Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 menggegarkan Johor pada jam 8.59 pagi Rabu. Foto MetMalaysia
Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 menggegarkan Johor pada jam 8.59 pagi Rabu. Foto MetMalaysia
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, Johor, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku di kira-kira 18 kilometer selatan Segamat, berpusat pada koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

"MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi ini," menurut MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, pusat gegaran dikesan berhampiran kawasan Segamat dan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor serta selatan Pahang.

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang memantau keadaan ini, manakala pihak berkuasa keselamatan serta agensi berkaitan juga sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di daerah Segamat berada dalam keadaan selamat,” kata JPBD Segamat dalam kenyataan pada Rabu.

Orang awam turut diminta bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti MetMalaysia dan agensi kerajaan lain serta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu lagi.

JPBD Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang merasai gegaran juga diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MetMalaysia menerusi pautan https://forms.gle/JMGSQhuAKdtwWn2a7 bagi membantu siasatan lanjut.

Pada 24 Ogos lepas, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di Yong Peng, 28 km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!