Arahan hadkan premis makanan beroperasi hingga 10 malam dibatalkan

Laporan Sinar Harian Online hari ini.
Laporan Sinar Harian Online hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik arahan menghadkan tempoh operasi premis makanan dan restoran 24 jam seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu diambil selepas pihaknya mempertimbangkan semula arahan itu dan mengambil kira keperluan semasa warga kota.

"Setelah mempertimbangkan semula perkara ini berdasarkan keperluan semasa warga kota, arahan menghadkan waktu operasi premis makanan sehingga jam 10 malam dibatalkan.

"Bagaimanapun operasi premis perniagaan makanan mestilah secara pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, DBKL mengeluarkan arahan tempoh operasi premis makanan dan restoran yang sebelum ini dibuka 24 jam dihadkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam bermula hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Premis makanan dihadkan operasi hingga 10 malam

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan arahan itu berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac ini.

Menurut kenyataan itu, arahan terbabit melibatkan semua premis perniagaan makanan restoran yang beroperasi 24 jam di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut memaklumkan, arahan tersebut selaras Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!