Malaysia–Brunei sepakat selesaikan sempadan Sektor F–G pada 2027

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah
menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam sektor kesihatan di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Rabu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar masing-masing mewakili Malaysia dan Brunei dalam pertukaran dokumen itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam sektor kesihatan di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Rabu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar masing-masing mewakili Malaysia dan Brunei dalam pertukaran dokumen itu.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Brunei sepakat untuk menyelesaikan isu persempadanan darat di Sektor F–G menjelang 31 Mei 2027 selepas lebih sedekad rundingan dijalankan.

Kesepakatan itu dicapai dalam Perundingan Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Putrajaya pada Rabu.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa penyelesaian Sektor F–G akan dilaksanakan berlandaskan Prinsip Tadahan Air seperti termaktub dalam Nota Pertukaran (EON 2024).

Setakat ini, kerja ukur dan penandaan bersama telah meliputi 214.638 kilometer atau 41 peratus daripada keseluruhan sempadan darat Malaysia–Brunei sejak ia dimulakan pada 2012.

Mengikut jadual, Sektor E–F dijangka selesai pada 2025, Sektor A–B pada 2026 dan Sektor F–G pada 2027.

Bagi memperkukuh momentum, kedua-dua negara juga secara prinsip bersetuju mempertimbangkan Memorandum Persefahaman Fasa Kedua penandaan sempadan dengan sasaran mencapai 66 peratus menjelang 2028.

Selain itu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut mengarahkan Jawatankuasa Sempadan Darat Bersama agar mempercepatkan proses penyelesaian menggunakan pendekatan konstruktif berlandaskan semangat persefahaman dua hala.

Kedua-dua pihak turut mengulangi komitmen terhadap perjanjian sedia ada termasuk EOL 2009, Memorandum Persefahaman 2012 mengenai proses pengukuran bersama serta lima Perjanjian Sempadan Darat terdahulu.

Mereka menegaskan bahawa sebarang kawasan yang belum ditanda akan diselesaikan hanya berdasarkan Prinsip Tadahan Air.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar masing-masing mewakili Malaysia dan Brunei dalam pertukaran dokumen itu.

Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia bagi mengadakan lawatan negara selama tiga hari bermula Isnin, memenuhi undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Turut berangkat ialah Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, selain menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Brunei.

Pada 2024, Brunei ialah rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (AS$1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah AS$690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah AS$500 juta (RM2.18 bilion) dan import AS$190 juta (RM840 juta).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!