Pelajar maut selepas lebih lima jam bertarung nyawa, rakan cedera

MELAKA – Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut akibat kecederaan parah selepas motosikal yang dinaikinya merempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Belimbing, petang Selasa.
Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, selepas lebih lima jam bertarung nyawa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mangsa membonceng motosikal jenis Yamaha Nouvo S yang ditunggangi rakan sebayanya, juga seorang pelajar perempuan.
“Siasatan awal mendapati motosikal tersebut dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh bahagian hadapan kanan sebuah lori yang sedang bergerak di persimpangan selepas lampu bertukar hijau,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, lori yang dipandu lelaki berusia 46 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Krubong Perdana ke Krubong ketika dirempuh motosikal yang datang dari arah SMK Krubong menuju ke Taman Krubong Permai.
“Akibat rempuhan, pembonceng mengalami patah tangan kiri, patah kaki kanan serta kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di hospital.
“Penunggang motosikal pula cedera di kepala serta mengalami luka di tangan dan kaki, manakala pemandu lori tidak cedera,” jelasnya.
Christopher berkata, semua kenderaan terlibat telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan teknikal, manakala lori turut ditimbang di JPJ Bukit Katil sebagai sebahagian daripada siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!