Orang ramai harap Kuantan Plaza dibuka semula

Kuantan Plaza yang pernah menjadi antara lokasi tumpuan utama di bandar Kuantan kini terus sepi.
Kuantan Plaza yang pernah menjadi antara lokasi tumpuan utama di bandar Kuantan kini terus sepi.
A
A
A

KUANTAN – Penutupan pusat beli-belah Kuantan Plaza sejak 2009 menimbulkan tanda tanya orang ramai apabila bangunan yang berdiri megah di Lorong Tun Ismail 5, di sini terus sepi hingga kini.

Bangunan tersebut memberi pelbagai kenangan kepada sebahagian besar penduduk di sini kerana dibuka sekitar 1995, malah bukan sekadar pusat beli-belah, tetapi menjadi ‘port lepak’ anak muda pada hujung minggu.

Namun pusat sukan boling di tingkat atas bangunan itu yang masih kekal beroperasi seakan menjadi satu-satunya ‘nyawa’ mengingatkan orang ramai kepada plaza tersebut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati struktur bangunan masih terjaga namun tidak dapat lari daripada masalah vandalisme dengan dinding diconteng dan beberapa bahagian terbiar tanpa penyelenggaraan rapi.

Seorang penduduk, Naim Abdillah Zainuddin, 35, berkata Kuantan Plaza dekat di hatinya kerana banyak kenangan bersama kawan-kawan ketika zaman mudanya terlakar di situ.

Katanya, wajar bangunan penuh nostalgia itu diberikan nafas baharu dengan konsep lebih mesra keluarga dan sesuai untuk golongan B40.

“Kalau buka semula kena ada konsep lain untuk bersaing dengan pusat beli-belah yang ada sekarang.

“Pembukaan semula premis ini akan membantu menambah peluang perniagaan, peluang kerja dan pada masa sama merancakkan kembali aktiviti ekonomi di sekitar kawasan Lorong Tun Ismail 5 ini,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Mohd Hasmizam Salleh, 41, lokasi Kuantan Plaza yang strategik di tengah bandar memberi kelebihan besar jika ia kembali beroperasi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak hidupkan semula boleh gabungkan aktiviti perniagaan dengan pusat hiburan keluarga, medan selera moden dan pasar raya lengkap. Itu yang orang cari sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, pihak Bronze Towers Sdn Bhd menjelaskan, Kuantan Plaza yang beroperasi bermula 1995 terpaksa ditutup pada 2009 apabila kebanyakan penyewa sedia ada ketika itu menamatkan kontrak.

Katanya, sehingga kini pihak syarikat masih menunggu penyewa utama yang sesuai untuk membuka semula operasi di premis berkenaan.

“Bangunan ini tidak menghadapi masalah besar kerana ia sentiasa diselenggara malah sebahagian premis termasuk pusat boling masih beroperasi hingga sekarang,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!