Sewa di pusat beli-belah mahal, peniaga pilih jual dalam talian

SHAH ALAM – Peniaga platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok kini memilih untuk menjual barangan secara dalam talian berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.
Penjual produk kesihatan, Nur Safikah Khairul Nizam, 27, berkata, peningkatan kos, kadar sewaan premis yang tinggi, persaingan serta lokasi pusat beli-belah yang kurang strategik antara faktor kebanyakan peniaga memilih berniaga melalui e-dagang.
“Kalau guna Shopee, Lazada atau TikTok, modal tidak terlalu banyak berbanding perlu menyewa tapak di dalam pusat beli-belah yang selalunya mencecah ribuan ringgit.
“Cuma memang platform e-dagang akan ambil komisen sekitar enam peratus (bergantung kepada penyedia perkhidmatan) daripada setiap barangan yang terjual.
“Selain itu, platform sebegini amat memudahkan pembeli, lebih-lebih lagi apabila produk dijual murah beserta potongan harga dan kadangkala ada pulangan wang tunai,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, pengusaha produk makanan di TikTok, Nurul Ain Hairom, 32, tidak menafikan kadar sewa premis yang terlalu mahal menjadi punca kebanyakan pusat beli-belah tidak mampu bertahan lama.
Tambahnya, kadar sewa yang tinggi menyebabkan harga barangan lebih mahal berbanding di platform e-dagang.
“Sewa tempat jadi punca utama banyak pusat beli-belah ditutup. Jadi mereka mesti jual barang lebih mahal.
“Ia mendorong pengguna membeli secara dalam talian. Mereka fikir lebih jimat kos parkir kereta, tidak perlu bersesak-sesak dan yang paling penting, berbelanja di hujung jari sahaja,” ujarnya.
Bagi Sharifah Nurul Aini Syed Othman, 39, pula, pelanggan masa kini lebih berminat dengan barangan murah ditambah pula tawaran hadiah percuma yang kebiasaannya hanya boleh didapati secara dalam talian.
Jelas pekerja swasta itu, golongan berkenaan memilih berbelanja menggunakan platform e-dagang kerana enggan keluar rumah dan hanya mahu menumpukan kepada urusan harian yang lebih penting.
“Asalkan barangan yang dibeli sampai betul-betul depan pintu rumah atau menggunakan servis penghantaran pantas.
“Dari perspektif penjual pula, mereka tidak perlu fikir tentang kos sewa tapak dan tidak rasa rugi jika tawar harga murah,” tambahnya.
Dalam pada itu, seorang pembeli barangan dalam talian, Nor Syamira Liana Nor Ashaha, 27, mengakui corak pembelian kini berubah terutamanya semasa negara berdepan pandemik Covid-19.
“Sebelum Covid-19, saya lebih suka membeli di pusat beli-belah kerana ketika itu pembelian dalam talian kurang dikenali.
“Sebaik wabak itu melanda negara, saya beralih kepada pembelian secara dalam talian.
“Ini kerana harga barangan jauh lebih murah, banyak pilihan dan pelanggan dapat melihat maklum balas pembeli lain,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

