Keladi agas ancaman baharu hasil padi negara

Mohamad (tengah) menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI, MR 333 di Kampung Lahar Minyak pada Isnin.
Mohamad (tengah) menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI, MR 333 di Kampung Lahar Minyak pada Isnin.
A
A
A

KEPALA BATAS- Masalah keladi agas yang semakin membiak di sawah padi, khususnya di kawasan Seberang Perai Utara (SPU), kini menjadi ancaman serius kepada pengeluaran padi negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tumbuhan itu, atau nama saintifiknya Monochoria vaginalis, yang sebelum ini dianggap biasa, kini merebak dengan pantas hingga menjejaskan pertumbuhan padi.

“Kalau kita turun ke sawah, kita boleh lihat keladi agas ini semakin banyak.

“Ia tumbuhan biasa, tetapi sekarang ia cepat merebak sehingga menjejaskan pertumbuhan padi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI, MR 333 di Kampung Lahar Minyak, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, Mohamad meminta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian lanjut mengenai tahap ancaman keladi agas serta mencari kaedah terbaik untuk mengawalnya.

Selain itu, katanya, pesawah turut diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kawalan rumpai termasuk semburan racun bermula daripada penyediaan tanah serta pada hari ke-15 hingga ke-18 selepas menanam padi.

“Kita minta para pesawah ikut SOP yang ada supaya masalah ini dapat dikawal, sementara MARDI pula akan terus melihat keadaan serta mencari kaedah yang lebih sesuai,” ujarnya.

Tambahnya, keladi agas kebiasaannya tumbuh di celah-celah padi dengan daun besar dan tebal sehingga menutup pertumbuhan padi dalam tempoh singkat iaitu hanya dua hingga tiga minggu.

Artikel Berkaitan:

Keladi agas yang tumbuh di celah-celah padi dengan daun besar dan tebal sehingga menutup pertumbuhan padi dalam tempoh singkat menjadi ancaman serius kepada pengeluaran padi negara.
Keladi agas yang tumbuh di celah-celah padi dengan daun besar dan tebal sehingga menutup pertumbuhan padi dalam tempoh singkat menjadi ancaman serius kepada pengeluaran padi negara.

“Masalah ini bukan hanya berlaku di SPU, negeri-negeri lain pun ada. Malah di Kedah juga sudah mula kelihatan, walaupun masih di peringkat awal.

"Namun kita mendapati, di kawasan SPU, keladi agas ini terlalu banyak,” katanya.

Ujarnya, hasil pemerhatian juga mendapati serangan keladi agas boleh menyebabkan hasil sawah merosot sehingga hanya kira-kira 8 hingga 9 tan sehektar sahaja.

“Antara punca keladi agas membiak ialah apabila pesawah tidak ikut SOP penggunaan baja. Bila padi baru naik sedikit, baja diberi terlalu awal atau berlebihan. Keadaan itu menyebabkan keladi agas pula yang subur.

"Sebab itu penting untuk ikut urutan yang betul — racun dahulu, barulah baja,” jelasnya.

Mohamad berkata, kementerian juga menggalakkan kaedah penanaman semula dalam penanaman padi sebagai alternatif bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada racun.

“Dulu, selepas menanam padi, kita boleh merumput. Tetapi sekarang seolah-olah tidak boleh lagi dan hanya bergantung pada racun.

"Jadi, kita mahu pesawah kembali menggunakan kaedah penanaman semula supaya rumpai dan tumbuhan lain dapat dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada pesawah Pulau Pinang yang sentiasa konsisten merekodkan purata hasil melebihi 4.8 tan sehektar sejak lima tahun lalu.

“Alhamdulillah, Pulau Pinang antara jelapang yang mencatat hasil tinggi. Dengan usaha berterusan serta sokongan semua pihak, saya yakin hasil padi dapat ditingkatkan lagi,” katanya.

Menurutnya, varieti padi baharu iaitu MR 333 yang dinamakan Menora dibangunkan MARDI khusus untuk kawasan jelapang dengan potensi hasil yang tinggi.

"Potensi hasil yang tinggi dengan mencecah 9.9 tan sehektar seperti direkodkan di Jerteh, Terengganu, manakala di Sekinchan, pesawah dilaporkan memperoleh hasil sekitar 9.96 tan sehektar.

“Dengan varieti padi baharu yang berpotensi tinggi serta tahan penyakit, jika disertai pematuhan kepada SOP penanaman yang baik, Insya-ALLAH ia akan memberikan pulangan lumayan kepada pesawah,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!