Rasuah pertahanan ancaman besar kepada kedaulatan negara - MBM

SHAH ALAM - Rasuah dan isu integriti melibatkan benteng pertahanan negara berisiko menjadi ‘pelincir’ kepada jenayah bermaharajalela yang boleh menggugat keamanan serta kedaulatan negara.
Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Ridzwan Jamaluddin berkata, kedaulatan negara seolah-olah boleh dijual beli dengan harga sogokan sekali gus menjadi puncak tertinggi bahana rasuah dan salah guna kuasa.
Menurutnya, meskipun intervensi dan tindakan segera telah diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, audit integriti berkala oleh badan bebas dan profesional terhadap agensi keselamatan wajib dilaksanakan di semua pintu masuk negara.
“Hasil audit mesti disediakan dalam bentuk laporan awam ringkas supaya rakyat tahu kelemahan yang dikenal pasti dan tindakan susulan yang diambil.
“Isu ini menuntut perhatian serius kerana ia menyentuh soal integriti institusi keselamatan negara. Apabila unsur rasuah dan kegagalan integriti meresap ke dalam benteng pertahanan, ia membuka ruang luas kepada sindiket jenayah rentas sempadan, ancaman asing dan kompromi kedaulatan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan Anwar mengarahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) meneliti semula aspek keselamatan negara susulan penahanan anggota Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) di selatan tanah air baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri dengan menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan negara berikutan tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 13 Ogos lalu, SPRM menahan 10 individu termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Mengulas lanjut, Syafiq berkata, perkembangan itu sedikit sebanyak mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan kepada badan penguat kuasa serta anggota beruniform secara keseluruhannya.
“Seandainya sindrom hilang kepercayaan ini semakin membesar dan membarah, kitaran ini akan terus berulang sehingga akhirnya seakan menjadi norma yang diterima. Inilah bahaya sebenar — apabila rakyat berhenti percaya, legitimasi institusi akan hilang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan beberapa langkah perlu diberi perhatian termasuk memastikan peruntukan undang-undang lebih tegas terhadap pegawai yang melakukan pengkhianatan.
“Rasuah dalam sektor keselamatan wajib dikategorikan sebagai kesalahan berat setaraf pengkhianatan negara dengan hukuman penjara mandatori serta hilang hak pencen.
“Gunakan teknologi pemantauan yang telus seperti kamera badan, biometrik dan sistem audit digital yang tidak boleh dimanipulasi bagi mengurangkan sogokan di lapangan.
“Selain itu, bentangkan laporan keselamatan dan integriti negara secara berkala di Parlimen agar rakyat dapat memantau tindakan kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
