MRSM Kepala Batas kini dikenali MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin. Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas kini secara rasminya dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penamaan semula institusi berkenaan adalah sebagai pengiktirafan dan penghormatan khas kepada Tun Abdullah yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, sebagai menghargai jasa dan sumbangan Tun Abdullah, beliau juga mahu pihak Mara menganjurkan satu Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh terdekat.

"Saya telah mengarahkan Pengerusi Mara untuk menganjurkan Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh sebulan ini, melibatkan kalangan intelektual, sejarawan dan ahli profesional, khususnya dalam kalangan pimpinan serta ahli UMNO.

"Seminar ini bertujuan mencungkil dan mendalami pemikiran serta gagasan Pak Lah dalam pelbagai bidang sepanjang kariernya dalam perkhidmatan awam dan politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, pada Isnin.

Hadir sama, anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi bagi mengenang jasa dan sumbangan Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 14 April lepas, Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

MRSM Kepala Batas terletak di kawasan Parlimen yang pernah diwakili Tun Abdullah selama tujuh penggal dari 1978 hingga 2008.

Pada 29 Mac 2009, MRSM Kepala Batas telah dirasmikan penubuhannya oleh Allahyarham Tun Abdullah, yang juga seorang figura kepimpinan negara yang unggul dan banyak menyokong penuh usaha Mara.

Antara legasi terbesar Allahyarham dalam pendidikan Mara ialah pengukuhan sistem pendidikan dualistik yang menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi, yang menjadi asas kepada program Ulul Albab MRSM.

Sehingga hari ini, Mara memiliki lapan MRSM Ulul Albab di seluruh negara dengan cetusan idea yang dibawa Allahyarham sehingga berjaya melahirkan 980 huffaz profesional sejak penubuhannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!