Tiada kemarau: Hasil padi dijangka lebih tinggi

Khalid (kiri) menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada petani sempena program Majlis Libat Urus dan Ramah Mesra KADA di Lundang, Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Khalid (kiri) menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada petani sempena program Majlis Libat Urus dan Ramah Mesra KADA di Lundang, Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Tiada kemarau teruk sepanjang musim ini telah memberi impak positif terhadap hasil padi di Kelantan dengan jangkaan hasil sawah padi tahun ini melebihi sasaran awal.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad berkata, kebanyakan kawasan tanaman padi musim kedua 2024 di bawah KADA telah menerima bekalan air yang mencukupi sekali gus meningkatkan purata hasil secara ketara.

"Tinjauan di beberapa lokasi seperti di Pasir Mas mendapati hasil padi tahun ini ada yang mencecah lebih enam tan sehektar berbanding purata biasa sekitar empat tan sehektar," katanya.

Beliau menambah, di beberapa lokasi tertentu, hasil padi tahun ini bahkan mencecah sehingga 7.2 tan sehektar.

Khalid (kiri) bersalaman dengan Tuan Mohd Saripudin (kanan). FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Khalid (kiri) bersalaman dengan Tuan Mohd Saripudin (kanan). FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

"Kami unjurkan hasil keseluruhan sekitar 215,000 tan berdasarkan sasaran konvensional, namun sekiranya trend hasil melebihi lima tan sehektar berterusan, angka ini boleh meningkat lebih tinggi," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Libat Urus dan Ramah Mesra KADA di Lundang pada Ahad. Turut hadir pada majlis tersebut, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Selain itu, Khalid memaklumkan bahawa penggunaan teknologi moden seperti dron serta teknik penjagaan sawah yang lebih sistematik turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil pengeluaran padi di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Khalid mengumumkan bahawa kerja-kerja pengukuhan sementara benteng cerucuk (sheet pile) di Rumah Pam Kemubu, Ketereh, sedang berjalan lancar. Projek pengukuhan ini bertujuan untuk memastikan bekalan air ke kawasan sawah kekal stabil.

"Projek pengukuhan sementara ini membabitkan pertahanan terhadap struktur sedia ada yang mengalami kerosakan akibat hakisan dan usia," katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa projek pembinaan sheet pile baharu masih di peringkat kajian teknikal oleh konsultan yang dilantik sejak Februari lalu. Proses ini melibatkan penyediaan reka bentuk teknikal serta laporan penilaian risiko hakisan.

"Tender untuk projek baru akan diiklankan dalam masa terdekat selepas kajian selesai, manakala kerja pembinaan penuh dijangka mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk disiapkan," tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa kerja-kerja pengukuhan sementara dijangka dapat bertahan selama tiga hingga empat tahun, memastikan bekalan air ke bendang di sekitar Kemubu tidak terjejas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!