Kerajaan sedia pinda akta perkasa MyCC banteras kartel - Armizan

Armizan (tiga dari kanan) melakukan simbolik sempena Pelancaran Program i-FB@PSIS di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.
Armizan (tiga dari kanan) melakukan simbolik sempena Pelancaran Program i-FB@PSIS di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan meningkatkan peruntukan bagi memperkasakan bahagian penyiasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan merancang pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan Akta Persaingan 2010 bagi memperluas bidang kuasa serta kapasiti penguatkuasaan badan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu antara komitmen tegas kerajaan dalam membanteras amalan kartel yang memberi kesan kepada pasaran dan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, pindaan itu dijangka dibentangkan selewat-lewatnya pada persidangan Parlimen akan datang selepas penelitian bersama Jabatan Peguam Negara dimuktamadkan.

"Tujuan pindaan ini adalah untuk memperkukuh kapasiti dan bidang kuasa MyCC supaya lebih berkesan dalam mengekang serta memberantas amalan kartel.

"Terdapat empat bentuk kartel iaitu pakatan harga, pembahagian pasaran, penetapan pengeluaran dan tipuan bida,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Ihsan Food Bank (i-FB)@PSIS di Politeknik Sultan Idris Shah, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, antara perkara yang diteliti termasuk memperluas bidang kuasa penyiasatan serta memberi ruang kepada MyCC untuk membuat rayuan di peringkat lebih tinggi sekiranya perlu.

Armizan berkata, ketika ini MyCC turut sedang menyiasat kira-kira 500 perusahaan membabitkan pelbagai bentuk kartel di bawah peruntukan Akta Persaingan 2010.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati memanipulasi pasaran sehingga menjejaskan pengguna dan industri.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan ini sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras amalan kartel yang menjejaskan pasaran serta memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

Mengulas keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) yang menolak rayuan empat syarikat penternak berhubung pelanggaran Akta Persaingan 2010 membabitkan kartel penetapan harga dedak makanan haiwan, Armizan berkata, keputusan itu mengesahkan wujudnya pelanggaran akta berkenaan.

Menurutnya, pelanggaran itu berlaku melalui pakatan penetapan harga yang memberi kesan kepada harga jualan dedak makanan haiwan di pasaran.

Menurutnya, pada 2023 MyCC mengeluarkan keputusan awal untuk mengambil tindakan terhadap lima syarikat yang didapati terbabit dalam amalan pakatan harga bagi makanan haiwan.

"Daripada lima syarikat itu, satu menarik balik rayuan dan bersetuju dengan keputusan MyCC, manakala empat lagi mengemukakan rayuan ke TRP.

Pada Rabu, TRP menolak rayuan empat syarikat penternak terhadap keputusan membabitkan pelanggaran pematuhan Akta Persaingan, memperkukuhkan peranan MyCC melindungi pasaran.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan media berkata, ia menerima baik keputusan sebulat suara TRP yang menolak semua rayuan yang dikemukakan oleh Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, FFM Berhad dan Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd terhadap keputusan MyCC pada Disember 2023 berhubung pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 [Akta 712].

Ringkasan AI

  • Kerajaan meningkatkan peruntukan untuk memperkuat penyiasatan MyCC dan merancang pindaan Akta Persaingan untuk memperluas kuasa penguatkuasaan
  • Langkah ini sebagai komitmen membendung amalan kartel yang mempengaruhi pasaran dan kos sara hidup rakyat
  • Pindaan tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen akan datang selepas kajian bersama Jabatan Peguam Negara
  • MyCC sedang menyiasat sekitar 500 perusahaan membabitkan pelbagai bentuk kartel
  • Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang memanipulasi pasaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!