Ayuh bangkit bersama kibar Jalur Gemilang

BULAN Ogos amat penting kepada seluruh rakyat untuk merenung kembali erti kemerdekaan dan rasa bangga jadi anak Malaysia.
Sudah menjadi kelaziman menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Jalur Gemilang perlu dikibar dengan megah.
Pada tahun ini kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-68 dan tema Hari Kebangsaan 2025 kali ini ialah Malaysia Madani: Rakyat Disantuni, seharusnya semangat nasionalisme dan kebanggaan terhadap kemerdekaan semakin utuh.
Namun daripada pemerhatian penulis, didapati suasana sambutan tidak seghairah seperti tahun-tahun terdahulu. Di jalan raya dan kawasan perumahan, hanya sebahagian kecil kenderaan dan premis yang mengibarkan Jalur Gemilang.
Keadaan ini jauh berbeza berbanding satu ketika dahulu apabila rakyat Malaysia dengan bangga menghiasi rumah, pejabat dan kenderaan dengan Jalur Gemilang.
Tidak pasti di mana puncanya, tetapi yang jelas ialah semangat patriotisme yang semakin menipis dalam kalangan rakyat wajar ditiup kembali.
Tindakan mengibarkan Jalur Gemilang perlu terus diperkasakan kerana ia bukan sahaja simbol kecintaan kepada negara, malah manifestasi semangat patriotisme dan perpaduan nasional yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Menurut Pensyarah Kanan Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, Jalur Gemilang merupakan simbol maruah serta kedaulatan negara yang perlu dijaga.
Katanya, bendera ialah simbol yang mengikat rakyat dengan negara, dan ia menjadi manifestasi kepada semangat cintakan tanah air yang tidak boleh digugat oleh elemen negatif.
Seiring dengan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut mengingatkan rakyat supaya tidak takut atau gusar menonjolkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan.
Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa individu yang cuba menimbulkan rasa takut terhadap aktiviti itu, ia tidak seharusnya mengikis semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Oleh itu, bagi membangkitkan semula semangat rakyat Malaysia sempena kemerdekaan ini, agensi kerajaan disaran terus memperhebat komunikasi awam melalui saluran digital, media sosial serta kempen komuniti.
Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, pihak berkuasa perlu tampil memberi jaminan serta penjelasan kepada masyarakat bahawa mengibarkan Jalur Gemilang adalah amalan terpuji, dan hanya kesalahan disengajakan dengan niat menghina negara perlu dikenakan tindakan.
Katanya, penting untuk pihak berwajib menangkis sentimen negatif ini dengan naratif positif serta memberi pendidikan kepada rakyat menerusi kempen kesedaran seperti di media sosial, video pendek, poster, infografik dan pelbagai inisiatif di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, penulis juga menyokong pendekatan kerajaan Negeri Sembilan yang mewajibkan penjawat awam mengibarkan bendera di kediaman masing-masing. Tindakan ini wajar dicontohi negeri lain.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, arahan itu yang pertama kali dikeluarkan bertujuan menanam semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan penjawat awam.
Selain itu, inisiatif penduduk Kampung Sekati, Manir, Kuala Terengganu yang mengadakan program Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang juga wajar dijadikan inspirasi.
Program itu bukan sahaja mengukuhkan perpaduan penduduk kampung, malah mengingatkan semua bahawa nikmat kemerdekaan hari ini lahir daripada perjuangan, keringat dan darah pejuang bangsa.
Jalur Gemilang bukan hanya sehelai kain. Ia adalah simbol kebanggaan, kesetiaan dan harapan untuk masa depan negara yang lebih bersatu dan harmoni.
Jangan biarkan ketidaktentuan atau sentimen negatif memudarkan semangat patriotisme yang telah lama menjadi denyut nadi negara.
Menjelang 31 Ogos ini, marilah kita bersama-sama bangkit dan kibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, kenderaan, dan paling penting di hati kita semua.
Biar dunia tahu, rakyat Malaysia tetap teguh dan bangga menjadi anak merdeka!
* Siti Shamila Che Zahari ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
