Sampai bila Jalur Gemilang terus jadi 'mangsa buli'?

Penghormatan pada Jalur Gemilang seharusnya menjadi amalan sepanjang tahun. Foto Bernama
Penghormatan pada Jalur Gemilang seharusnya menjadi amalan sepanjang tahun. Foto Bernama
A
A
A

BELUM sempat rakyat melupakan isu bendera Johor dipasang terbalik di Segamat, timbul pula kisah baharu di Pontian.

Kali ini Jalur Gemilang pula jadi mangsa, terpampang terbalik di sebalik kaca sebuah klinik pergigian swasta.

Lebih menyakitkan mata, bendera negeri Johor di sebelahnya tegak sempurna. Maka timbullah persoalan adakah ia sekadar kecuaian atau benar-benar ada niat mempermainkan maruah negara?

Tetapi rakyat sudah letih dengan jawapan klise. Kalau ini bukan sengaja, adakah ia bermakna terlalu rendah rasa hormat terhadap lambang negara?

Bagi Merak Jalanan, bendera bukan sekadar kain berwarna. Ia simbol kedaulatan, maruah dan harga diri.

Menyaksikan ia dipasang terbalik, senget atau koyak sama sahaja seperti memperlekeh pengorbanan pejuang yang pernah mengangkat panji kemerdekaan.

Ironinya, semua ini berlaku di bulan Ogos iaitu bulan sepatutnya Jalur Gemilang dikibar dengan megah, bukan dibuli dengan begitu hina.

Setiap kali insiden sebegini berlaku, pemilik premis atau pihak bertanggungjawab boleh pula bertukar wajah menjadi 'mangsa buli' netizen.

Sedangkan yang mencetus provokasi siapa sebenarnya? Jika dibiarkan tanpa tindakan tegas, budaya membuli Jalur Gemilang akan terus berulang.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, polis sudah buka kertas siasatan. Itu baik, tetapi apa seterusnya? Undang-undang mesti ditegakkan. Jangan sekadar nasihat atau amaran. Tanpa penguatkuasaan yang jelas, Jalur Gemilang akan terus jadi mangsa permainan cuai dan sengaja.

Kerana itu, kesedaran awam juga perlu digerakkan. Jangan hanya mengibar bendera ketika Ogos menjelma, kemudian disimpan entah ke mana selepas tamat sambutan.

Cinta pada negara tidak bermusim dan penghormatan pada Jalur Gemilang seharusnya menjadi amalan sepanjang tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!