Felda Jengka 24 semarak bulan kemerdekaan dengan ribuan Jalur Gemilang

Suasana di Felda Jengka 24 yang kini meriah dengan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Suasana di Felda Jengka 24 yang kini meriah dengan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan.
A
A
A

JENGKA - Semangat patriotisme penduduk Felda Jengka 24 terus dizahirkan apabila lebih 3,000 Jalur Gemilang dipasang di sekitar tanah rancangan berkenaan sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-68 tahun ini.

Tradisi memasang bendera berkenaan sudah menjadi amalan sejak beberapa tahun lalu hasil inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 24 bersama penduduk.

Aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong itu dilaksanakan di setiap lorong perumahan, jalan utama dan kawasan kemudahan awam, sekali gus menceriakan suasana serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara.

Setiap lorong dipenuhi Jalur Gemilang hasil inisiatif penduduk dan JKKR Jengka 24.
Setiap lorong dipenuhi Jalur Gemilang hasil inisiatif penduduk dan JKKR Jengka 24.

Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, program itu mendapat sokongan penuh penduduk yang berganding bahu mengumpul dana serta menyumbangkan tenaga bagi memastikan pemasangan bendera berjalan lancar.

“Kami mahu anak-anak muda terus menghayati makna kemerdekaan. Dengan adanya lautan Jalur Gemilang ini, mereka dapat merasai kebanggaan sebagai rakyat Malaysia selain mengenang pengorbanan pejuang terdahulu.

“Walaupun tahun ini tiada pertandingan khusus, namun penduduk tetap teruja dan bersemangat meneruskan tradisi tahunan,” katanya.

Beliau memaklumkan, tahun lalu hampir 14,000 Jalur Gemilang dipasang di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan pemasangan bendera secara terbalik perlu dihentikan segera dan rakyat perlu memastikan ia dihormati dengan memasang secara betul di premis masing-masing.

“Bendera adalah maruah serta kedaulatan sebuah negara yang perlu dijaga. Ia juga lambang perjuangan pemimpin terdahulu untuk dihayati oleh semua pihak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!