Dari timbunan sampah ke harapan baharu

Kerja-kerja pembersihan dilakukan sejak Mei di beberapa kawasan. - Foto Nuradzlinn
Kerja-kerja pembersihan dilakukan sejak Mei di beberapa kawasan. - Foto Nuradzlinn
A
A
A

SHAH ALAM – Rumah yang sebelum ini penuh dengan timbunan barangan lama kini berubah menjadi kediaman yang lebih teratur dan bersih hasil misi pembersihan melibatkan individu dengan tabiat menyimpan barang berlebihan.

Baru-baru ini, perkongsian video pembersihan sebuah rumah di sini mencatat lebih 1.1 juta tontonan dengan lebih 30,000 tanda suka sekali gus menunjukkan betapa besar perhatian masyarakat terhadap isu berkenaan.

Nuradzlinn Abu Hashim, 37, yang mengetuai misi berkenaan berkata, sejak Mei lalu, pasukannya telah membersihkan tujuh buah rumah di sekitar Lembah Klang, Bentong dan Johor.

Nuradzlinn (empat kiri) bersama pasukannya bagi melakukan kerja pembersihan berkenaan di Shah Alam.
Nuradzlinn (empat kiri) bersama pasukannya bagi melakukan kerja pembersihan berkenaan di Shah Alam.

“Tabiat menyimpan barang berlebihan adalah gangguan mental apabila seseorang menimbun barangan tanpa nilai sehingga memenuhi ruang kediaman dan menyukarkan kehidupan seharian.

“Berbeza dengan pengumpul biasa, mereka yang ada tabiat ini akan berasa cemas dan tertekan bila disuruh membuang barang. Itu sebabnya proses pembersihan perlu dilakukan dengan penuh empati,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, cabaran utama bukan sekadar timbunan sampah tetapi juga emosi pemilik rumah yang berasa malu, takut atau marah apabila orang luar masuk membantu.

“Kos operasi pula bukan sedikit dengan setiap misi boleh menelan belanja antara RM2,000 hingga RM5,000 meliputi sewaan lori, pelupusan sisa, peralatan serta makan minum sukarelawan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kesan rumah dengan tabiat menyimpan barang berlebihan juga serius, bukan hanya pada penghuni malah jiran tetangga. Risiko kebakaran, bau busuk, pembiakan serangga perosak dan pencemaran udara dalam rumah antara masalah yang sering ditemui.

“Dari segi mental, mereka biasanya mengalami kemurungan, rasa rendah diri, terasing daripada keluarga dan akhirnya hilang motivasi hidup. Inilah yang lebih menyedihkan,” katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan yang digunakan ialah berbincang dahulu dengan pemilik rumah dan mengasingkan barang mengikut kategori sebelum dibuang.

“Motivasinya untuk terus bergerak dalam misi ini hadir selepas melihat perubahan hidup pemilik rumah yang dibantu. Bagi saya, ia bukan sekadar membersihkan rumah tetapi menyelamatkan individu daripada kegelapan hidup,” jelasnya.

Ujarnya, dia sendiri merupakan pesakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) dan masih menjalani rawatan psikiatri bulanan.

“Saya selalu kata, pesakit bantu pesakit kerana dengan membantu mereka, saya sebenarnya turut membantu diri saya sendiri,” ujarnya sambil menambah misi pembersihan berkenaan dijalankan menerusi program CSR BioQueen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!