Harapan baharu atau ulangan di Ayer Kuning

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bukan sekadar satu lagi peristiwa politik dalam kalendar negara. Ia adalah cerminan kepada denyut nadi rakyat di akar umbi - suara yang mahu didengari, nasib yang mahu dibela dan harapan yang mahu direalisasikan.
Ketika jentera parti mula bergerak dan bendera mula berkibar, pengundi di Ayer Kuning sekali lagi dihadapkan dengan tanggungjawab besar untuk menentukan siapa yang paling layak menjadi wakil suara mereka.
Bukan sekadar calon yang petah berbicara di pentas ceramah atau rajin turun padang ketika musim pilihan raya, tetapi calon yang benar-benar mampu menyelami denyut rasa rakyat, menyantuni isu setempat dan berani membawa suara Ayer Kuning ke persada negeri.
Harapan rakyat kini bukan lagi semata-mata janji-janji manis yang lunak di telinga tetapi hambar dalam tindakan.
Mereka mahu wakil yang konsisten, berprinsip dan punya integriti tinggi. Pengundi semakin matang; mereka menilai bukan hanya parti, tetapi juga rekod dan keperibadian calon.
Mereka mahukan pemimpin yang tidak hanya muncul waktu undi diperlukan, tetapi terus hadir selepas kemenangan diumumkan. Senang kata YB memberi maksud yang berkhidmat, bukannya yang berhormat.
Kajian awal dilakukan firma penyelidikan bebas, Ilham Centre mendapati sebahagian lokaliti di DUN Ayer Kuning mempunyai tuntutan tertentu kepada pihak-pihak bertanding untuk menyelesaikan masalah harian mereka.
Pengarah Eksekutifnya, Hisomuddin Bakar berpandangan, tuntutan sebegini jelas menunjukkan bahawa suara rakyat di peringkat lokal masih perlu diberi perhatian serius.
Maka, calon yang ingin mendabik dada sebagai 'pejuang rakyat' perlu benar-benar memahami denyut nadi tempatan - bukan sekadar bergantung kepada skrip politik dari ibu pejabat.
Rakyat Ayer Kuning mahukan wakil rakyat yang bekerja, bukan hanya berpolitik. Mereka inginkan suara yang boleh membawa isu ke DUN, dan paling penting pulang dengan penyelesaian.
Jangan sesekali memperlekehkan kuasa rakyat. Undi mereka bukan sekadar lambang demokrasi, tetapi juga isyarat jelas terhadap apa yang mereka mahu lihat berlaku - di kampung mereka, di daerah mereka, dan dalam kehidupan seharian mereka.
Calon datang dan pergi tetapi harapan rakyat, jangan sesekali dikhianati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
