[VIDEO] 'Dulu abang suka bantu orang, sekarang dia perlukan bantuan'
SUNGAI PETANI - “Dulu abang suka bantu orang tetapi sekarang dia pula perlukan bantuan.”
Demikian luahan Norliana Mohamad Yahaya, 48, mengenai suaminya, Muhamad Zahidi Hussin, 48, yang terlantar sejak setahun lalu.
Menurut Norliana, dalam kejadian pada 11 Oktober tahun lalu, mereka dalam perjalanan ke Kemaman, Terengganu bagi melaksanakan perkhidmatan memeriksa dan menyelenggara mesin sebelum suaminya tiba-tiba diserang sakit kepala.

“Kami bertolak dari rumah sewa di Butterworth, Pulau Pinang jam 9 pagi. Namun apabila sampai di Gerik, Perak kira-kira jam 12 tengah hari, suami sakit kepala dan minta saya gantikan tempatnya memandu. Saya sempat memandu sehingga ke pencawang Temenggor sahaja.
“Ketika itu dia sakit sangat, minta diberi ubat tetapi tidak lega malah rasa hendak muntah,” katanya yang kini menetap di Sungai Petani.
Selepas kejadian itu, Muhamad Zahidi koma selama 27 hari di Hospital Gerik.

"Selepas sedar, dia tidak mampu melakukan apa-apa termasuk memberi respon ketika berinteraksi, makan, bercakap, duduk dan berdiri.
"Kini dia hanya terlantar serta bergantung kepada susu khas melalui tiub," ujarnya.
Menurut doktor, keadaan itu dipercayai berpunca daripada pembuluh darah pecah akibat strok haba.
Tempurung kepala Muhamad Zahidi juga terpaksa dibuang bagi mengeluarkan darah beku.
Sejak itu, lelaki yang dahulunya menjadi ketua keluarga sudah tidak mampu menguruskan diri sendiri sekali gus hilang punca pendapatan.
“Suami perlukan susu khas lima kali sehari yang harganya mahal, lampin pakai buang serta pelbagai peralatan lain.
“Selain itu, kos ambulan ke Hospital Sultan Abdul Halim dan Hospital Pulau Pinang mencecah ratusan ringgit. Kini kami hanya bergantung pada bantuan yang diterima,” jelasnya.
Pasangan ini mempunyai seorang anak, Muhamad Asyraf Danial, 22, yang baharu menamatkan pengajian dan kini bekerja sambilan sementara menunggu pekerjaan tetap.
Menurut Norliana, tidak menyangka suaminya yang dahulu suka membantu orang lain kini terpaksa mengharapkan belas ihsan masyarakat.

“Saya ingat lagi semasa PKP, kami pernah menjual durian. Ada satu keluarga datang teringin hendak makan durian kerana isterinya mengandung tetapi tidak mampu. Suami terus beri secara percuma,” katanya.
Setakat ini, keluarga mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah. Mereka juga bersyukur apabila permohonan pencen ilat suami diluluskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagaimanapun, katanya, banyak lagi komitmen perlu ditanggung memandangkan kos susu sahaja mencecah RM2,000 sebulan walaupun sebahagiannya dibiayai PERKESO, selain ansuran rumah, bil utiliti dan keperluan lain.
Keadaan Muhamad Zahidi turut mendapat perhatian sebuah pasar raya yang menyampaikan sumbangan empat tin susu khas, lampin pakai buang dan barangan keperluan asas.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank bernombor 7632 85 2940 atas nama Norliana Mohamad Yahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

