Petani Sabah beralih tanam bawang bantu kurangkan kebergantungan import

KENINGAU - [DIKEMAS KINI] Usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang merah disokong menerusi Kursus Teknologi Penanaman Bawang anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Dewan Masyarakat Sook, di sini, pada Ahad.
Kursus yang disertai 350 peserta itu menampilkan topik penting seperti pengadaptasian varieti mengikut agroklimat, penanaman skala besar, pengurusan perosak, pengendalian hasil lepas tuai dan risikan pasaran.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, komitmen tinggi Mardi melonjakkan potensi bawang merah tempatan varieti BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 sebagai pemacu baru industri pertanian negara.
Menurutnya, bawang merah adalah bahan asas penting dalam masakan rakyat, namun negara bergantung sepenuhnya kepada import.
"Pada 2022, kita mengimport 685.4 ribu tan metrik dengan nilai RM1.58 bilion.
"Penggunaan per kapita bawang bagi rakyat Malaysia ialah sekitar 20.9 kilogram setahun seorang, dengan jumlah keperluan negara dianggarkan 39,675 tan metrik setahun, semuanya diimport.
“Kebergantungan ini mendedahkan negara kepada gangguan bekalan dan kenaikan harga, contohnya bencana banjir di India menyebabkan harga bawang naik lebih 30 peratus, daripada RM6 kepada RM8 sekilogram," katanya ketika berucap merasmikan kursus tersebut pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian melalui Mardi membangunkan tiga varieti bawang tempatan dan memulakan projek perintis di Sungkai, Perak yang menunjukkan hasil memberangsangkan.
"Di Sabah, usahawan tani Shahrizal Denci dari D&H Plantation membuktikan kejayaan projek bawang merah seluas empat hektar di Kundasang dengan hasil hampir 10 tan bagi pasaran tempatan.
"Kejayaan ini membuktikan potensi penanaman bawang merah di tanah tinggi Sabah dan membuka peluang kepada lebih ramai usahawan tani menceburi bidang ini,” katanya.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kursus di Sook itu juga antara usaha kementerian memperluas tanaman bawang di Sabah, dengan sasaran mencapai kadar sara diri (SSR) sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
"Mardi akan mengenal pasti peserta yang berpotensi untuk diberikan bimbingan teknikal bagi pengeluaran bawang tempatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, kursus tersebut adalah platform pendedahan awal kepada komuniti luar bandar mengenai potensi ekonomi tanaman bawang merah.
Katanya, 15 usahawan benih bawang merah telah dilantik Mardi di seluruh negara, termasuk dua dari Sabah, bagi menjayakan pengeluaran awal benih dan menyokong agihan kepada petani.
"Setiap petani dijangka mampu menghasilkan antara satu hingga dua tan metrik setiap musim, dengan hasil lebih tinggi jika teknologi dan amalan terbaik diaplikasikan secara meluas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
