Himpunan Pasak pertahan Sanusi, tolak ‘Honggaq Kedah’

ALOR SETAR - Himpunan Pasak akan mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, serta menolak Himpunan Honggaq Kedah yang akan diadakan serentak pada Ahad ini.
Penganjur Himpunan Pasak yang juga Presiden Kedah International Bike Week, Mohammad Haromen Zaki Al Maghribi Mohd Hashim Khan berkata, ia dianjurkan sebagai tanda solidariti rakyat Kedah menyokong pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.
Menurutnya, penganjuran yang bertembung dengan Himpunan Honggaq Kedah bukan bertujuan mencetuskan provokasi, sebaliknya hanya menyatakan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
“Himpunan Pasak akan diadakan di Taman Rekreasi Taman Rimba bermula jam 2 petang dengan jangkaan sekurang-kurangnya 1,000 peserta hadir melibatkan rakyat pelbagai latar belakang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, Pasak dianjurkan secara aman dengan simbolik peserta hanya berdiri, tangan di belakang, dan mendengar apa yang disampaikan kumpulan Honggaq tanpa sebarang tindakan provokasi.
“Jika kami diuji dengan provokasi, kami akan melaungkan takbir. Ia selari dengan nama himpunan ini, iaitu pasak bermaksud perkukuhkan kedudukan supaya tidak goyah apabila ‘dihonggaq’. Rakyat Kedah berdiri teguh di belakang pemimpin berjiwa rakyat,” katanya.
Mohammad Haromen berkata, Himpunan Pasak akan disertai tokoh korporat dan individu yang mahu mempertahankan kepimpinan negeri yang menurutnya jujur, mendahulukan agama serta mengutamakan rakyat berbanding jawatan atau kedudukan.
“Himpunan ini terbuka kepada semua rakyat Kedah yang ingin mempertahankan kepimpinan kerajaan negeri. Rakyat boleh memilih sama ada mahu menyertai Himpunan Honggaq atau Himpunan Pasak,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Pasak dianjurkan secara aman dan mengingatkan peserta agar mengekalkan ketenteraman tanpa provokasi, sekali gus menyuburkan prinsip demokrasi selain membuktikan rakyat Kedah adalah yang terbaik dari segi kesopanan dan kesusilaan.
“Himpunan ini turut membawa mesej menolak agenda politik yang cuba menggoncang pentadbiran kerajaan negeri. Honggaq adalah usaha mempengaruhi pemikiran rakyat supaya tidak bersyukur dan cuba menjatuhkan pentadbiran negeri. Tindakan itu jelas tidak menghormati demokrasi. Pasak akan membuktikan rakyat Kedah tetap bersama kerajaan negeri,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya telah menghantar pemakluman kepada polis dan menerima nasihat supaya lokasi perhimpunan dipindahkan ke Taman Rimba berbanding lokasi asal di hadapan Wisma Darul Aman, bagi mengelakkan pertindihan dengan Himpunan Honggaq.
Menurutnya, peserta juga akan membawa sepanduk bertulis “Justice for Adik Zara” serta bendera Malaysia, selain mengemukakan 20 kegagalan kerajaan terdahulu yang perlu dijawab pihak tertentu.
Pada 3 Ogos lalu, Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawan, memaklumkan bahawa Himpunan Honggaq Kedah yang akan diadakan pada 24 Ogos ini bukan bertujuan menjatuhkan Menteri Besar Kedah. Sebaliknya ia merupakan desakan agar beliau menyelesaikan 10 isu utama rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya, himpunan tersebut akan menjadi medium rakyat Kedah menyerahkan memorandum ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Perhimpunan Honggaq Kedah dianjurkan sepenuhnya oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah suara rakyat tanpa sebarang penglibatan rasmi mana-mana parti politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

