‘Honggaq Kedah’ serah memorandum 10 isu rakyat kepada Sanusi

ALOR SETAR - Himpunan ‘Honggaq Kedah’ telah menyerahkan satu memorandum yang mengandungi 10 isu utama rakyat untuk diselesaikan oleh kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawan berkata, memorandum bertajuk “10 Kegagalan Isu Utama Rakyat Kedah” itu diberi tempoh dua minggu untuk dijawab oleh kerajaan negeri, manakala pelaksanaannya dituntut dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, selepas memorandum diserahkan, pihaknya menunggu maklum balas rasmi daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sama ada melalui sidang media atau sesi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jika kesemua 10 perkara ini dijawab, kami akan memberikan maklum balas kepada media. Memorandum ini kami rahsiakan lebih tiga minggu selepas sidang media berkaitan penganjuran program pada 3 Ogos. Hari ini, isu tersebut diperjelaskan kepada rakyat,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Kedah iaitu Mohd Zohir Md Rejab selaku Ketua Kerani Pejabat Menteri Besar, di hadapan Wisma Darul Aman, di sini pada Ahad.
Himpunan yang berlangsung dalam keadaan aman itu dihadiri kira-kira 70 peserta termasuk lima badan bukan kerajaan (NGO), dengan sesi penerangan memorandum diadakan selama hampir 30 minit.
Sulaiman berkata, antara tuntutan tersebut termasuk kegagalan dasar pembangunan di bawah slogan The Greatest Kedah yang didakwa hanya menjadi retorik politik tanpa diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
“Kami mendesak kerajaan negeri membentangkan laporan rasmi mengenai jumlah sebenar peluang pekerjaan yang diwujudkan di bawah The Greatest Kedah,” katanya.
Menurutnya, isu lain yang digariskan ialah kegagalan sektor pelancongan serta desakan penambahbaikan fasiliti dan kebersihan, penutupan segera kuari di Gunung Pulai dan Gunung Baling serta penguatkuasaan Akta Alam Sekitar, selain tuntutan terhadap pembangunan seimbang di seluruh daerah.
Turut dibangkitkan ialah isu pengharaman rumah judi dan cadangan mengetatkan hukuman berkaitan, isu pemberian geran tanah dan kenaikan premium tanah, pelaburan swasta serta projek berimpak tinggi, nasib penjaja kecil dan kegiatan pembalakan yang didakwa berisiko mencetuskan bencana alam.
Menurut Sulaiman, pihaknya akan terus mengumpul bukti bagi memperjelaskan isu berkenaan kepada rakyat.
“Jika kerajaan negeri tidak memberikan sebarang reaksi, kami akan menggerakkan siri kedua ‘Honggaq Kedah’, namun bukan dalam bentuk himpunan, sebaliknya dengan menumpukan penerangan kepada golongan akar umbi.
“Kami mohon menteri besar menunaikan semua janji dan memberikan jawapan secara jujur tanpa emosi atau dendam. Sebagai anak Kedah, kami berhak bersuara selagi tidak melanggar undang-undang,” katanya.
Sulaiman menjelaskan bahawa himpunan berkenaan telah mencapai sasaran apabila penyerahan memorandum dapat dilakukan kepada pihak menteri besar untuk diteliti.
“Bagi kami, ini satu kejayaan. Selain berjaya memperjelaskan isu dalam sesi penerangan, kami serahkan kepada rakyat Kedah untuk menilai dan bersikap terbuka dalam membentuk persepsi masing-masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

