Cubaan seludup gagal, ubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM85,000 dirampas di KLIA1

SEPANG – Cubaan seorang lelaki warga Bangladesh untuk menyeludup masuk lebih 60,000 unit ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM85,000 gagal apabila barangan itu berjaya dirampas pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1), di sini pada Khamis.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu adalah hasil pemeriksaan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengesyaki imej imbasan daripada empat buah bagasi milik lelaki berkenaan.
"Susulan itu, bagasi tersebut diserahkan kepada Pasukan Penguat Kuasa Farmasi AKPS untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan terperinci oleh pasukan itu mengesahkan penemuan lebih 60,000 unit ubat-ubatan daripada 30 jenis berbeza yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Menurut kenyataan itu, bekalan ubat-ubatan berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk dijual di pasaran gelap kepada rakan senegaranya.
"Antara rampasan utama termasuk ubat-ubatan yang mengandungi racun terkawal dan psikotropik, 1,000 tiub krim anti-kulat serta 20,000 biji ubat rawatan gastrik," katanya lagi.
"Kesemua ubat-ubatan tersebut telah dirampas dan diserahkan semula kepada JKDM untuk siasatan lanjut. Mengikut prosedur, barangan rampasan akan dilucut hak dan dilupuskan dalam tempoh sebulan.
"Kejayaan operasi ini menunjukkan kerjasama dan komitmen padu antara JKDM dan AKPS dalam mengawal pintu masuk negara.
Pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras penyeludupan ubat-ubatan tidak berdaftar yang berisiko tinggi terhadap kesihatan dan keselamatan awam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
