Cubaan seludup 207 kg ganja di Sungai Golok

PASIR MAS – Pasukan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup ganja mampat seberat 207 kilogram bernilai RM641,700 di Sungai Golok di sini pada Khamis.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah hari apabila pasukan rondaan mengesan empat lelaki sedang memindahkan barang daripada sebuah bot ke tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia.
“Namun, apabila pasukan operasi menghampiri kawasan berkenaan, semua lelaki terbabit melarikan diri ke tebing Thailand dan meninggalkan barangan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat kotak berisi ganja mampat dengan anggaran nilai rampasan RM641,700,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesemua barang rampasan diserahkan ke Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“TDM akan terus memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dan komited memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


