Ketidakpastian ekonomi global, geopolitik ancaman utama media

JENJAROM - Ketidakpastian ekonomi global, geopolitik, perubahan iklim dan tingkah laku pengguna merupakan antara ancaman utama kepada media tempatan di negara ini.
Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, ia kerana ancaman berkenaan boleh menjejaskan operasi harian industri media termasuk dari aspek pengedaran berita dan keupayaan organisasi untuk terus kekal berdaya saing dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar.
"Sebagai contoh perubahan geopolitik yang berlaku sekarang, kita dapat melihat negara luar, banyak mencetuskan peperangan.
"Mereka dalam erti kata lain, tidak lagi mempromosikan keamanan. Ini sudah tentu akan menjejaskan perniagaan kita, terutamanya dalam aspek pengedaran dan penugasan berita.
"Jadi kita harap dunia akan berubah dalam masa terdekat, agar kita kembali kepada keamanan dan ketenteraman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya sebagai salah seorang penceramah utama dalam Persidangan Antarabangsa Perakaunan & Perniagaan (Mi-CAB 2025) di Universiti MAHSA pada Jumat.
Hadir sama Pengerusi, Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia, Professor Dr Maszlee Malik; Naib Canselor Universiti MAHSA, Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail dan Pengerusi Mi-CAB 2025, Dr Sugumaran Selladurai.

Ujar Muhammad Nasir, trend perniagaan masa kini perlu menggabungkan kepakaran tradisional dengan teknologi inovatif bagi menjamin pertumbuhan yang mampan.
Menurutnya, teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin menjadi tumpuan dunia ketika ini seharusnya dilihat bukan sebagai ancaman, sebaliknya peluang untuk mencipta nilai baharu dalam industri media.
“Aliran digital dan AI boleh membantu meningkatkan keberkesanan operasi, mengurangkan kos serta mempercepatkan proses penghasilan berita.
"Saya percaya kita ada kemampuan dan kebolehan untuk berjaya dalam semua ini. Mungkin disebabkan faktor tertentu, mereka tidak dapat menunjukkan prestasi.
"Saya harap kerajaan sedar tentang perkara tersebut," ujarnya.
Menurut beliau, aspek pendidikan juga tidak perlu dipolitikkan kerana ia merupakan asas penting dalam membangunkan negara.
“Pendidikan seharusnya dilihat sebagai satu misi mendidik rakyat tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.
"Malangnya setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, menteri pendidikan juga bertukar dan polisi baharu diperkenalkan sedangkan perancangan sedia ada sudah hampir siap. Hal ini memberi kesan besar kepada sistem pendidikan negara,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

