Pro bono: Keadilan untuk siapa?

Ramai beranggapan apabila tertuduh diberi peguam percuma, seolah-olah sistem lebih cepat melindungi mereka berbanding mangsa. Gambar hiasan
Ramai beranggapan apabila tertuduh diberi peguam percuma, seolah-olah sistem lebih cepat melindungi mereka berbanding mangsa. Gambar hiasan
A
A
A

ISTILAH pro bono yang berasal daripada perkataan Latin, pro bono publico yang bermaksud untuk kebaikan awam, kini tiba-tiba menjadi bualan rakyat selepas kes buli dan kematian pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, Zara Qairina Mahathir dibawa ke mahkamah.

Ramai yang sebelum ini tidak pernah mendengar frasa undang-undang itu mula tertanya-tanya mengapa ada peguam sanggup membela secara percuma?

Secara asas, pro bono membawa maksud khidmat guaman tanpa bayaran, biasanya untuk mereka yang tidak mampu. Ia dianggap amalan profesional yang murni kerana undang-undang tidak sepatutnya hanya berpihak kepada mereka yang berduit.

Namun, persoalan yang lebih besar timbul. Pro bono ini sebenarnya harus berpihak kepada siapa? Adakah kepada tertuduh yang sedang berdepan dakwaan jenayah atau mangsa yang sudah teraniaya?

Di sinilah wujud kekeliruan dan kemarahan masyarakat. Ramai beranggapan apabila tertuduh diberi peguam percuma, mereka beranggapan seolah-olah sistem lebih cepat melindungi mereka berbanding mangsa.

Bayangkan, keluarga yang kehilangan insan tersayang masih meratapi duka tetapi orang yang dituduh pula diberi layanan undang-undang tanpa kos.

Dari sudut prinsip keadilan, memang benar semua orang berhak mendapat pembelaan termasuk tertuduh. Itu asas yang tidak boleh dipertikaikan.

Tetapi dalam konteks sosial, persepsi rakyat tidak boleh diketepikan. Keadilan bukan sekadar proses di mahkamah tetapi juga rasa keadilan yang dirasai oleh orang awam.

Justeru, di sinilah peranan Majlis Peguam dan badan guaman lain. Pro bono tidak boleh dilihat semata-mata sebagai peluang membela 'si miskin' yang dituduh tetapi juga perlu membuka ruang agar mangsa dan keluarga mendapat khidmat guaman percuma.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya, keadilan sejati bukan sekadar wujud pada kertas undang-undang tetapi juga dalam keyakinan rakyat bahawa hak mereka dijaga sama rata.

Jika tidak, istilah pro bono hanya akan dilihat condong kepada satu pihak dan persoalan akan terus bergema... Keadilan ini milik siapa sebenarnya?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!