Malaysia miliki keupayaan kesan ejen risikan asing – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Malaysia memiliki keupayaan risikan kukuh untuk mengesan aktiviti ejen perisikan asing atau pengintip ke negara ini susulan pendirian lantang Perdana Menteri terhadap isu antarabangsa termasuk Palestin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Cawangan Khas, sentiasa melaksanakan langkah wajar bagi mengekang potensi ancaman perisikan asing di negara ini.
Malah, beliau mengakui kehadiran pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat sulit bagi tujuan dan kepentingan tertentu merupakan satu potensi ancaman yang serius, terutama dari sudut geopolitik negara.
“Perisikan mempunyai modus operandi tersendiri seperti mengenal pasti sasaran, mengumpul maklumat profil, mengkaji struktur organisasi, merekrut orang dalam atau memasuki negara atas alasan pelancongan.
“Dalam beberapa kes, orang dalam digoda dengan ganjaran, direkrut melalui ugutan atau dipengaruhi oleh ideologi.
“Perisikan siber pula membabitkan capaian maklumat melalui rangkaian tersembunyi, pemasangan perisian hasad atau perisian intip, serta mencuri data secara berperingkat sebelum dihantar kepada pengendali mereka,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan negara mengamalkan tiga langkah utama dalam menangani ancaman berkenaan iaitu pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan.
Menurutnya, Malaysia sentiasa memantau suspek, memperkukuh unit siber dalam agensi risikan, meningkatkan kerjasama dengan badan antarabangsa, serta melaksanakan tapisan keselamatan yang lebih ketat.
Sebagai contoh, katanya, terdapat kes membabitkan Nidarahayu Zainal yang direkrut perisikan Israel untuk menculik dua lelaki Palestin pada 28 September 2022.
“Dia berjaya diberkas, mangsa diselamatkan dan kini Nidarahayu sedang dibicarakan. Kes ini jelas menunjukkan modus operandi bertujuan pengintipan politik kerana direkrut oleh ejen Mossad.
“Kerajaan akan terus melaksanakan langkah pencegahan strategik bagi menangani ancaman pengintipan meliputi pemantauan, kerjasama antara agensi dan perkongsian risikan antarabangsa bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
“Dalam masa yang sama, tindakan perundangan bersesuaian akan diambil terhadap ejen perisikan ini jika didapati bersalah,” ujarnya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai sudut perundangan dan hubungan antarabangsa, Saifuddin Nasution menjelaskan, semua penjenayah buruan termasuk perisik antarabangsa boleh diekstradisi ke negara yang memohon setelah pertuduhan dan sabitan dibuat.
“Setakat ini, kerajaan telah menandatangani Triti Ekstradisi dengan 11 negara dan bagi negara yang tidak mempunyai triti dengan Malaysia, maka Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) akan terpakai,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
