Projek sturgeon gagal, sekarang nak ternak baung merah pula?

BELUM hilang dari ingatan kita tentang projek sturgeon di Jerantut, Pahang satu ketika dulu. Heboh konon nak jadi pengeluar kaviar dunia, siap janji limpahan ekonomi luar biasa.
Akhirnya duit rakyat hangus, projek terbengkalai dan muka-muka penipu itu pun sudah didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah.
Nelayan dan pemimpin setempat sejak awal sudah membantah kerana mereka lebih tahu apa kesan jangka panjang kepada ekosistem Sungai Pahang.
Kini, muncul pula cadangan komersialkan ikan baung ekor merah. Entah mengapa, ikan asing yang sudah jelas menimbulkan masalah di sungai kita mahu pula dijadikan sumber ekonomi.
Sedangkan kewujudan spesies ini pun berpunca daripada tangan-tangan gatal yang membela di rumah atau kolam kecil. Bila sudah besar dan tidak mampu beri makan, pilihan mudah ialah lepaskan ke sungai. Dari seekor, lahirlah ribuan.
Ada yang berhujah, kalau ternak dalam kolam terkawal, tiada masalah. Malah kalau di atas bumbung bangunan 50 tingkat pun katanya selamat kerana jauh dari sungai.
Sejarah membuktikan, lambat-laun ada juga yang terlepas atau sengaja melepaskan ikan asing itu ke sungai. Tidak semua orang membeli ikan dengan niat untuk makan, sebaliknya ramai yang suka membela ikan.
Apabila terlepas, kita tahu apa spesies asing itu akan membiak tanpa kawalan dan akhirnya ikan tempatan seperti patin muncung makin sukar dijumpai.
Undang-undang pun bukan tidak ada. Akta Perikanan 1985 jelas melarang pelepasan spesies asing sewenang-wenangnya.
Merak Jalanan cuma mahu ingatkan bahawa Sungai Pahang semakin tenat dengan baung merah. Tak perlu tambah sakit semata-mata nak buat duit segera.
Jangan nanti anak cucu kita hanya kenal patin muncung dalam gambar, sementara sungai dipenuhi ‘tetamu asing’ yang kita sendiri jemput masuk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
