Tolak tapak ganti, penternak kerbau dalam dilema

KAMPAR – Seorang penternak kerbau di Tanjung Tualang kini berdepan dilema selepas diarahkan mengosongkan tanah diteroka untuk tujuan ternakan diusahakan keluarganya sejak lebih 20 tahun lalu
Nashender Singh, 35, berkata, masalah dihadapi apabila menerima notis daripada Pentadbir Tanah Kinta pada 15 Ogos lalu untuk mengosongkan kawasan ternakan dalam tempoh tujuh hari kerana ia merupakan tanah rizab milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).
Menurutnya, memang perbincangan dan rundingan bersama MB Inc pernah dibuat namun ia tidak mencapai persetujuan diharapkan.
“Sudah lebih 20 tahun keluarga saya menternak di sini sejak zaman ayah lagi. Memang MB Inc pernah ditawarkan tanah seluas 0.4 hektar tetapi saya tolak kerana lokasinya berhampiran tapak kuari dan tiada jaminan kekal di situ.
“Saya sedia berpindah tetapi memerlukan kawasan sesuai sekurang-kurangnya 1.6 hektar bagi menempatkan lebih 100 ekor kerbau ini.
"Saya juga ada meminta kawasan seluas kira-kira enam hektar berhampiran kadang sedia ada tetapi tidak diluluskan,” katanya ketika ditemui di Tanjung Tualang di sini pada Rabu.
Nashender dalam pada itu merayu agar kerajaan negeri mempertimbangkan penyediaan kawasan baharu bagi memastikan lebih 100 ekor kerbau diusahakannya tidak terjejas selain terus menyokong agenda sekuriti makanan negeri.
Menurutnya, jika terpaksa keluar dari kawasan itu dalam masa terdekat, kerugian dianggarkan RM200,000 terpaksa ditanggung selain bimbang ternakan berkeliaran sekali gus mengundang risiko kemalangan.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Usahawan Petani dan Penternakan Perak, Isma Allif Sezali menegaskan, pihaknya menghormati tindakan yang diambil oleh MB Inc namun menekankan pentingnya kelangsungan aktiviti penternakan tempatan.
Pihaknya juga merayu agar perbincangan dan rundingan semula dapat dibuat supaya isu tersebut diselesaikan secara baik agar agenda keterjaminan makanan negeri tidak terjejas.
Difahamkan, MB Inc sudah mengadakan perbincangan sejak tahun lalu bagi mencari penyelesaian terbaik.
MB Inc juga telah menawarkan kawasan seluas 0.4 hektar namun tawaran itu ditolak oleh peneroka berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

