Kesan tapak kaki jadi petunjuk, ayah temui anak tidak bernyawa

PASIR PUTEH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas ketika menemani ayahnya yang bekerja membaiki jengkaut di kawasan berhampiran Sungai Kuala Semerak di sini pada Selasa.
Mangsa, Nik Muhammad Adam Asyraf Nik Mazrulhisham dikatakan hilang dari pandangan kakaknya yang berusia 14 tahun ketika bermain di kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pada jam lebih kurang 7.35 malam pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki disyaki mati lemas di muka kuala sungai tersebut.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dari Balai Polis Cherang Ruku dan IPD Pasir Puteh telah ke lokasi kejadian.
"Kami telah menemui mayat mangsa yang berada di tebing muka kuala dimana pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kanak-kanak terbabit dikatakan telah ditemukan oleh ayahnya yang berusia 38 tahun selepas dimaklumkan tentang kehilangan anak lelakinya itu.
Ujarnya, dimaklumkan bahawa pencarian dilakukan berdasarkan petunjuk pada kesan tapak kaki di kawasan terbabit.
Zaizul Rizal memberitahu, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.
"Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai terutama ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau dan mengambil maklum pergerakan anak-anak ketika berada di kawasan pantai bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.
Menurut beliau, individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian 019-456 7181 atau 09-7867222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

