'Fasiliti kesihatan usang, 20 tahun tilam bantal tak diganti'

KOTA KINABALU - Isu kekurangan doktor pakar di Sabah yang didedahkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berpunca daripada fasiliti kesihatan yang usang dan daif yang tidak diganti sejak puluhan tahun lalu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Sabah, Datuk James Ratib, sekali lagi mengakui bahawa sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, majoriti fasiliti kesihatan masih memerlukan perhatian serius untuk dinaik taraf atau diganti baharu.
"Ya, memang kita sedari bahawa fasiliti ini bukan saja di luar bandar tetapi dalam bandar juga memang kurang. Saya juga akui memang banyak kekurangan doktor disebab fasiliti kita termasuk tiada air, tiada elektrik kalau di luar bandar.
"Jadi apabila mesyuarat Exco Kesihatan di Putrajaya, perkara pertama yang saya bangkitkan adalah masalah kedaifan klinik-klinik kita sama ada bandar atau luar bandar.
"Antara isu yang saya suarakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang telah diambil alih oleh kementerian persekutuan tahun 2015 tetapi tidak mendapat penambahbaikan iaitu usang, tilam dan bantal mereka 20 tahun tidak pernah diganti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan Hari Raya Kementerian Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) di Wisma Tun Fuad Stephens pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab, usahanya lantang menyuarakan masalah tersebut di peringkat persekutuan akhirnya mendapat perhatian yang sewajarnya.
"Alhamdulillah kerajaan hari ini telah menaik taraf di semua klinik dengan elektrik, mereka pasang solar dan air, struktur kayu telah dinaik taraf menjadi bangunan konkrit, barulah terbuka mata sekarang.
"Selain itu, saya sendiri menyatakan kepada menteri dan ketua pengarah jika fasiliti dalam ILKKM sama ada di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu tidak digantu, kita ambil balik pengurusannya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
"Akhirnya serta merta diberikan kira-kira 1,350 tilam dan kini semua ILKKM sangat gembira kerana mendapat fasiliti tersebut untuk pelatihnya," katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa pihak lain tidak sewajarnya mempertikaikan usaha yang telah dilakukan.
"Saya percaya banyak lagi kedaifan fasiliti kesihatan yang perlu diganti baharu dan saya sendiri menerajui sejak dua tahun kementerian ini saya sangat sibuk melawat kesemua fasiliti kesihatan di seluruh negeri.
"Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, beliau mahu menterinya semua bekerja, jadi boleh tanya pengurusan tertinggi JKNS bagaimana kita kerja.
"Jadi janganlah cakap kita kata menteri tak bekerja, tidak. Saya sendiri cakap di sini, Menteri KPMKR memang bekerja untuk rakyat," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, James mengakui keengganan petugas kesihatan berkhidmat di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman menyebabkan beliau sendiri pening memikirkan perkara itu.
Laporan akhbar tersebut mendapat perhatian daripada petugas kesihatan di negeri ini dengan menyatakan punca sebenar adalah disebabkan fasiliti kesihatan di Sabah yang begitu daif dan usang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!