BNM dijangka kekalkan OPR, penurunan mungkin hujung tahun

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 8 Mei depan, disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh.
Susulan pertumbuhan memberangsangkan dan kadar inflasi terendah dalam tempoh tiga tahun, iaitu 1.4 peratus pada Mac 2025, BNM berjaya mengekalkan OPR pada paras 3.00 peratus sejak Mei 2023, berbeza dengan negara serantau yang telah menurunkan kadar faedah mereka.
Menurut BNM, sementara kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan tiada perubahan dalam keputusan dasar kali ini, penurunan kadar mungkin berlaku pada penghujung 2025 berikutan inflasi rendah, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS, serta penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).
"Risiko utama terhadap unjuran ekonomi Malaysia adalah kerentanan negara terhadap ketegangan perdagangan global dan kemungkinan kelembapan dalam ekonomi rakan dagang utama.
"Meskipun eksport negara melonjak baru-baru ini, terutamanya ke Amerika Syarikat, pengenalan tarif import baharu terhadap Malaysia dan rakan dagang utamanya boleh menjejaskan prestasi eksport keseluruhan," katanya.
Terdahulu, BNM mengekalkan kadar OPR pada paras tiga peratus selepas mengejutkan pasaran dengan kenaikan kadar tersebut susulan tekanan inflasi berpanjangan, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pasaran buruh yang kukuh.
Sejak Mei 2023, ekonomi negara tidak menunjukkan tanda-tanda kelembapan ketara, menyebabkan BNM mengekalkan kadar asasnya hampir dua tahun sehingga kini.
Langkah itu membezakan Malaysia daripada negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Korea Selatan yang masing-masing telah menurunkan kadar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Sebelum ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut mencatat pertumbuhan lima peratus tahun ke tahun, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan memberangsangkan serta pemulihan eksport.
Sementara itu, kadar inflasi terus mencatat penurunan apabila Indeks Harga Pengguna (CPI) merekodkan paras terendah dalam tempoh tiga tahun, iaitu 1.4 peratus pada Mac 2025.
Biarpun kerajaan telah mengurangkan subsidi bagi diesel, elektrik dan ayam, inflasi keseluruhan kekal terkawal lalu berpotensi membuka ruang untuk BNM menurunkan kadar dasarnya menjelang hujung tahun ini.
Memetik London Stock Exchange (LSEG), penganalisis pasaran kewangan di Octa Broker, Kar Yong Ang berkata, kebarangkalian penurunan kadar semakin meningkat susulan Fed AS turut melonggarkan dasar monetari tidak lama lagi.
"Inflasi terkawal, ringgit berada pada paras terendah tujuh bulan berbanding dolar AS, serta jangkaan pendekatan 'dovish' oleh Fed memberi tekanan kepada nilai ringgit dan meningkatkan kemungkinan BNM menurunkan kadar dasar.
"Data Gross Domestic Product (GDP) AS minggu lalu mengecewakan dan menimbulkan kebimbangan mengenai risiko kemelesetan. Pasaran kini menjangka kemungkinan sebanyak 47 peratus bahawa Fed akan menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas menjelang suku ketiga 2025,” kata beliau.
Tambahnya, ekonomi Malaysia masih stabil namun negara amat terdedah kepada tekanan perdagangan global berikutan keterbukaan pasaran yang tinggi.
“Malaysia tetap terdedah kepada risiko perdagangan global dan kelembapan ekonomi rakan dagang utama, sekali gus memberi kesan kepada unjuran pertumbuhan negara.
“Walaupun eksport negara melonjak baru-baru ini, terutama ke AS, pengenalan tarif import terhadap Malaysia dan rakan dagang utamanya berpotensi menjejaskan prestasi eksport secara keseluruhan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
