57,000 rumah baharu diperlukan dalam tempoh lima tahun

BATU GAJAH – Kerajaan Perak menganggarkan sebanyak 57,000 unit rumah baharu diperlukan menjelang tahun 2030 bagi memenuhi permintaan masa hadapan yang semakin meningkat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lebih 8,800 unit rumah mampu milik telah berjaya disiapkan di seluruh negeri menerusi pelaksanaan program Rumah Perakku sehingga tahun lalu.
Menurut beliau, lebih 4,400 unit lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
"Ia selaras dengan Dasar Perumahan Negeri Perak yang menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus unit dalam pembangunan baharu berskala besar disediakan sebagai rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik.
"Ini merupakan pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki rumah," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran projek perumahan Taman Tasik Ardea, Mukim Sungai Terap di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, projek perumahan yang menawarkan 601 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM141 juta itu dijangka siap pada September 2026.
"Harga yang ditawarkan serendah RM90,000 untuk Rumah Perakku I dan sehingga RM250,000 untuk Rumah Perakku III dengan mengambil kira kemampuan sebenar rakyat, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40.
"Kerajaan negeri turut memperuntukkan diskaun lima peratus dan pengecualian bayaran deposit sebagai insentif bagi membantu lebih ramai golongan muda dan keluarga baharu berkemampuan untuk memiliki rumah pertama mereka," katanya.
Jelas beliau, dengan adanya projek kawasan kediaman, ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan pembangunan mampan kawasan Batu Gajah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

