[VIDEO] Ibu Zara Qairina rayu saksi tampil, netizen diminta henti ugut dan takutkan saksi

A
A
A

KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina merayu saksi termasuk pelajar yang mengetahui kes kematian anaknya supaya tampil untuk memberi maklumat kepada pihak polis atau pasukan peguam yang mewakilinya.

Perkara itu disampaikan oleh peguam, Hamid Ismail yang turut berkongsi bahawa anak guamnya, Noraidah Lamat, melahirkan rasa lega selepas Perdana Menteri memberi jaminan bahawa tiada pihak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Hamid ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu selepas sebutan kes inkues kes Zara Qairina Mahathir.
Hamid ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu selepas sebutan kes inkues kes Zara Qairina Mahathir.

"Ibu Zara sangat gembira apabila Perdana Menteri Malaysia mengatakan yang dia memberi jaminan tidak akan ada orang yang terlepas daripada tindakan dan dakwaan pihak berkuasa.

"Saya bercakap dengan dia semalam tentang isu ini, dia sangat gembira dan dia memohon kepada semua saksi yang ada, jangan takut, terutamanya para pelajar, jangan takut, tampilkan diri, kalau takut kepada polis, jumpa kami," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Ditanya mengenai tindakan warga maya dan orang ramai ketika ini bertindak luar kawalan dengan melakukan ugutan terhadap pelajar sekolah berkenaan, Hamid menegaskan bahawa beliau meminta pihak berkenaan supaya tidak menakutkan saksi.

"Saya telah berjumpa seorang individu yang dia menyatakan takut sebab ada 'tiktokers' yang mengugut-ugut, kononnya membuat cerita palsu, jadi jangan takut.

"Saya galakkan mereka (saksi) berjumpa polis ataupun saya dan nasihat saya kepada tiktokers, pempengaruh tolong jangan takut-takutkan saksi-saksi. Kita mahu keadilan dan dalam kita memohon keadilan, jangan kita memfitnah, mengugut orang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai himpunan solidariti yang dianjurkan pelbagai pihak, Hamid berkata, beliau dan pasukan guaman tidak menghalang sebarang usaha itu, namun perlu dilakukan secara tertib selain tiada campur tangan daripada politik.

"Ia tidak berlaku (himpunan) jika tidak kerana kecuaian di peringkat awal siasatan iaitu ketika bedah siasat tidak dilakukan. Bagi mereka yang ingin bersolidariti, saya dan pasukan saya sangat sokong. Cuma, patuhi undang-undang, patuhi peraturan yang ditetapkan dan jaga kebersihan tempat bersolidariti.

"Jika ada yang ingin berpolitik, janganlah suruh datang. Bersolidariti ini adalah untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik. Tolong, kalau penghancurnya, tolaklah orang-orang yang ingin memberi ucapan-ucapan berunsur politik, tidak bagus. Kita semua buat untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik," tegasnya.

Sebelum itu, Hamid ditemui bersama pasukannya iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser ketika hadir mengikuti prosiding sebutan kes inkues kes Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!