Selangor cadang pasang CCTV pantau parkir, hasil lebih tersusun

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi parkir seluruh negeri bagi memastikan kutipan hasil lebih teratur dan meningkatkan tahap penguatkuasaan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, langkah itu antara inisiatif yang dibincangkan selepas pengurusan Sistem Parkir Pintar (SIP) diambil alih anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Rantaian Mesra Sdn Bhd.
Menurutnya, kadar kutipan bayaran parkir ketika ini hanya sekitar 50 peratus berikutan masih ramai pengguna kenderaan enggan membayar jika tiada penguat kuasa di kawasan terbabit.
“Bila ada penguat kuasa orang bayar, bila tiada mereka tidak bayar. Jadi, kita perlu kaedah penguatkuasaan lebih kemas dan seragam.
“Antara cadangan yang diterima ialah penggunaan teknologi kamera yang mampu menjamin pemantauan lebih baik,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records di sini, pada Isnin.
Beliau menegaskan, kadar caj parkir 60 sen sejam di Selangor akan dikekalkan dan tiada kenaikan setakat ini.
“CCTV bukan sahaja membantu meningkatkan hasil parkir untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi juga menyokong usaha kerajaan negeri membangunkan bandar pintar.
“Kamera itu boleh digunakan untuk aspek keselamatan, pemantauan kebersihan, kawalan banjir dan pelbagai fungsi lain,” katanya.
Jelasnya, pemasangan CCTV berskala besar di seluruh Selangor menjadi cabaran besar kerajaan negeri, namun ia boleh dikongsi dengan pihak swasta melalui kerjasama strategik.
Dalam pada itu, aplikasi Flexi Parking pada Isnin melakar sejarah baharu apabila berjaya mencipta dua rekod yang diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBR).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lai Thiam Sin berkata, Flexi Parking berjaya mencipta rekod dengan mendapat sokongan 46 PBT merentasi pelbagai negeri sebagai aplikasi tempat letak kereta pintar bersepadu paling meluas di negara ini sejak mula beroperasi pada tahun 2016.
Menurutnya, sejumlah 46 PBT itu meliputi Perak (15), diikuti Selangor (11), Kelantan (7), Kedah (4), Sabah (2), Negeri Sembilan (2), Pahang (2), Terengganu (1) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya.
Beliau berkata, Flexi Parking juga berjaya memperoleh transaksi bayaran parkir tertinggi dalam satu hari di Malaysia dengan jumlah sebanyak 461,265 transaksi pada 7 Mei lalu.
“Transaksi itu membabitkan beberapa perkhidmatan seperti bayaran per jam, pas bulanan, tambah nilai kredit dalam aplikasi serta bayaran saman dan denda.
“Sejak rekod itu dicipta, jumlah transaksi harian tertinggi Flexi Parking terus meningkat dan ini membuktikan sokongan semua pihak dalam penggunaan aplikasi ini di seluruh negara.
“Kedua-dua pengiktirafan ini diberikan kepada Flexi Parking, sebuah aplikasi inovatif tempatan yang mentransformasikan sistem parkir awam di Malaysia secara digital dan efisien,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

