Polis siasat akaun TikTok sebar kandungan tidak sahih kes Zara

KUALA LUMPUR - Polis menyiasat akaun TikTok @berjuanguntukzara kerana memuat naik kandungan tidak tepat berkenaan kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai agar menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Penularan kandungan yang tidak sahih tersebut berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan oleh pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk di media sosial apabila ia didakwa dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah tersebut.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina bagi menentukan punca serta sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
