Peguam ibu Zara Qairina nafi terima arahan saman doktor terkenal

Hamid Ismail. (Gambar kecil: Zara Qairina)
Hamid Ismail. (Gambar kecil: Zara Qairina)
A
A
A

KOTA KINABALU - Peguam, Hamid Ismail yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya beliau bakal memfailkan saman terhadap seorang doktor terkenal.

Ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat, Hamid mengesahkan bahawa kenyataan mendakwa Noraidah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan saman adalah tidak benar.

"Tidak betul (kenyataan itu)," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

Sejak pagi Jumaat, tular di Facebook beberapa hantaran yang mendakwa tindakan saman akan diambil oleh ibu Zara Qairina.

Antara hantaran tersebut berbunyi, "Terkini! Ibu Zara Qairina arah peguam saman seorang doktor terkenal" dan "Memang dia terjun sendiri – Keluarga Zara Qairina bakal saman doktor".

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu menarik perhatian meluas, termasuk di media sosial, selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!