Kes Zara Qairina: Prosiding inkues peluang dapatkan kebenaran - Saifuddin

SHAH ALAM - Prosiding inkues yang dijalankan bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina Mahathir, 13, adalah peluang untuk merungkai fakta dan mendapatkan kebenaran.
Ketua Portfolio Pendidikan PN merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kebenaran ini penting bukan sahaja untuk keluarganya, tetapi juga masyarakat yang mahu melihat sistem keadilan berfungsi dengan telus.
Menurutnya, pihak mahkamah, peguam negara dan semua yang terlibat diaharapkan dapat mengendalikan inkues dengan penuh integriti tanpa campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak.
"Semua bukti perlu dibentangkan secara menyeluruh termasuk keterangan saksi dan laporan forensik yang lengkap.
"Ini kerana inkues yang adil dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang.
"Ia juga menghantar mesej jelas bahawa setiap nyawa rakyat mempunyai nilai yang sama di sisi undang-undang," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Saifuddin, beliau menyambut baik dan mengucapkan terima kasih atas arahan peguam negara agar inkues dijalankan.
Jelasnya,tujuan inkues bukanlah sekadar mencari pihak bersalah tetapi juga untuk memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.
"Hasil inkues boleh menjadi asas kepada pembaikan prosedur siasatan dan keselamatan awam. Keputusan inkues mestilah berpaksikan fakta, undang-undang dan prinsip keadilan, bukannya pengaruh luar atau kepentingan tertentu.
"Dalam hal yang demikian, maka saya menyokong tuntutan ibu Zara Qairina supaya pihak keluarga diberi kebenaran untuk turut sama dilibatkan dalam prosiding inkues yang akan dijalankan kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

