Sidang media Bukit Aman buktikan 'plot twist' ibu punca kematian Zara Qairina tak benar - Peguam

KOTA KINABALU - Sidang media yang diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, pada Rabu, berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir, membuktikan bahawa ‘plot twist’ yang tular di media sosial sebelum ini adalah tidak benar.
Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina berkata, sidang media tersebut membuktikan bahawa dakwaan kononnya anak guam mereka menjadi punca kematian remaja itu adalah tidak benar.
"Sidang media itu membuktikan bahawa 'plot twist' yang ditularkan beberapa minggu lalu di platform-platform media massa kononnya anak guam kami menjadi punca kematian Zara adalah tidak benar.
"'Plot twist' itu adalah satu naratif jahat dan jijik yang direka untuk memfitnah anak guam kami dan Zara," kata pasukan peguam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Pasukan peguam turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah JSJ Bukit Aman dan pasukan petugas khasnya kerana bertindak pantas menyiasat kes berkenaan.
Bagaimanapun, mereka merayu supaya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kematian Zara Qairina tampil menyalurkan maklumat tersebut.
"Kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis di atas, kami merayu agar anda tampil ke hadapan dan salurkan maklumat kepada polis.
"Jika anda takut atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami.
"Akhir sekali, kami berterima kasih dan menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa mencari keadilan untuk Zara.
"Dalam pada yang sama, elakkan membuat spekulasi yang tidak benar tentang kes kematian Zara," katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh barisan peguam iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk di media sosial, selepas ia didakwa mempunyai kaitan dengan kejadian buli di sekolah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
