Bapa maut, anak cedera nahas tiga kenderaan

SANDAKAN - Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 9, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Ranchanna Hujang, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOC) manakala anaknya yang berusia 17 tahun patah bahagian bahu kiri.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori, Proton Iriz dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.
"Dalam kejadian tersebut, lori yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Batu 8 menuju ke Batu 32 dipercayai gagal memberhentikan kenderaannya ketika menghampiri bulatan lalu merempuh bahagian belakang Proton Iriz.
"Lori tersebut kemudian masuk ke laluan kanan dan melanggar sebuah kenderaan lain iaitu MPV yang berada di bulatan sehingga menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan sebelum salah seorangnya disahkan maut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, pemandu lori dan pemandu Proton Iriz tidak mengalami kecederaan namun dua penumpangnya cedera ringan.
"Semua mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke unit forensik untuk dibedah siasat yang dijadualkan esok.
"Selain itu, pemandu lori turut ditahan dan akan direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut dan anak perempuannya cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 9, Sandakan
- Kemalangan yang berlaku pada jam 6.40 pagi itu melibatkan sebuah lori, Proton Iriz dan MPV jenis Toyota Avanza
- Lori dalam perjalanan dari Batu 8 ke Batu 32 gagal memberhentikan kenderaannya dan merempuh Proton Iriz sebelum melanggar MPV
- Mangsa yang meninggal dunia ialah Ranchanna Hujang, 55, manakala anaknya berusia 17 tahun patah bahu kiri
- Pemandu lori ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
