PM gesa badan penguat kuasa bertindak tegas dalam isu gugat negara termasuk ugutan, buli

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Tindakan tegas mesti diambil bagi menghentikan budaya kebiadaban, sikap melampau serta amalan yang merendahkan maruah manusia berasaskan kaum atau agama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, amalan seperti buli, hasutan dan penghinaan di sekolah, pejabat dan jabatan yang mengundang perpecahan masyarakat perlu dihentikan segera sebelum menjadi ancaman lebih besar terhadap negara.
“Saya memberi arahan jelas kepada badan penguatkuasaan. Mana-mana pihak, sama ada tokoh besar atau kecil, ahli politik atau rakyat biasa yang terlibat dalam jenayah, ugutan dan hasutan mesti diambil tindakan segera.
“Ini bukan lagi amaran. Kalau ada yang diberi amanah tetapi tidak sanggup bertindak, beritahu saya, kita ganti dengan mereka yang berprinsip dan berani,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama INTAN di sini pada Jumaat.
Ujar beliau, amalan mempolitikkan isu seperti bendera Jalur Gemilang atau menyebarkan berita palsu mengenai kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dimainkan demi menghangatkan suhu politik adalah perbuatan yang melemahkan sendi negara.
“Ini bukan saingan popular ini, bukan saingan siapa yang lebih populer, (atau) siapa yang sanggup menarik minat rakyat (tetapi) ini soal menyelamatkan negara.
“Sudah tahu kita ada pengalaman, bibit-bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum.
"Mulanya kecil, kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran dan berita-berita palsu. Jangan diizinkan dan mana boleh (perkara ini berlaku),” katanya.
Menurutnya, negara ini hanya mampu bertahan sebagai sebuah negara maju jika nilai, akhlak dan budaya rakyat dipelihara seiring pertumbuhan ekonomi.
“Kita tidak boleh berbangga hanya dengan jumlah pelaburan atau prestasi bursa saham tetapi membiarkan nilai masyarakat luntur.
"Negara mesti selamat, rakyat mesti dilindungi tanpa mengira kaum, agama, status atau warna kulit,” ujarnya.
Beliau menegaskan prinsip demokrasi bukan alasan untuk ‘tyranny of the majority’ atau ‘tyranny of the minority’ kerana kedua-duanya boleh membawa kepada penindasan.
“Zero tolerance terhadap sebarang bentuk perkauman dan sikap fanatik agama namun, siasatan mesti telus, adil dan mengikut undang-undang.
"Jangan hukum secara sembrono hanya kerana benci atau sejarah lalu,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak perlu memberi ruang kepada badan penguatkuasa dalam menjalankan siasatan dan tidak menghukum atau membuat andaian tanpa fakta kukuh.
“Dalam keadaan siasatan, serahkan kepada kebijaksanaan badan penguat kuasa, ini belum apa-apa sudah ada tudingan... anak individu kenamaan (VVIP) ini atau orang ini.
“Kita siapa? Tutup sahaja pejabat-pejabat polis, kalau dah semua keputusan kita boleh buat, tanpa siasat. Jadi harus ada siasatan segera, dan usul adil dan terbuka, jangan pakai hukum sembrono,” katanya.
Anwar berkata, negara ini dibina atas keamanan dan perpaduan pelbagai kaum serta agama, justeru setiap tindakan yang mengugat keamanan mesti ditangani segera demi memastikan tragedi perpecahan dan rusuhan kaum tidak berulang.
"Kita ini damai kerana dari pelbagai kaum, pelbagai agama, budaya dan adat masih tahu kecintaan kepada negara dan sebagai manusia serta karamah insaniah yang kita tekankan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

