DAP gesa polis ambil tindakan tegas terhadap perarakan Akmal Saleh

DAP Pulau Pinang menggesa polis bertindak tegas terhadap Akmal Saleh susulan perarakan di Kepala Batas yang didakwa melanggar arahan pihak berkuasa.
DAP Pulau Pinang menggesa polis bertindak tegas terhadap Akmal Saleh susulan perarakan di Kepala Batas yang didakwa melanggar arahan pihak berkuasa.
A
A
A

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, susulan penganjuran perarakan di Kepala Batas pada Khamis yang didakwa melanggar arahan pihak berkuasa.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, tindakan Muhamad Akmal yang mengetuai perarakan tersebut bukan sahaja mengingkari arahan polis, malah disifatkan sebagai provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Ini jelas satu pelanggaran undang-undang. Pihak polis perlu bertindak tegas bagi memberi isyarat bahawa tindakan provokatif seperti ini tidak dibenarkan, lebih-lebih lagi pada bulan Kebangsaan yang sepatutnya menggalakkan perpaduan, bukannya perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, sebelum ini telah menasihatkan semua pihak supaya tidak berhimpun di Kepala Batas seperti yang diwar-warkan.

Jelasnya, DAP Pulau Pinang yang juga sebahagian daripada kerajaan negeri menghormati sepenuhnya arahan tersebut dan tidak menggerakkan ahli atau penyokong untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Hanya wakil tempatan hadir bagi mengedarkan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan sebagai usaha memupuk semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan rakyat.

“DAP Pulau akan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 500 ahli dari UMNO, Pas dan Bersatu mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Kumpulan yang diketuai Muhamad Akmal itu berkumpul di tapak Pasar Malam Pekan Kepala Batas sebelum berarak sehingga ke Jalan Bertam Perdana.

Artikel Berkaitan:

Mereka berarak kira-kira 15 minit sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan melaungkan “pertahan Jalur Gemilang”.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!