Teruskan operasi buru pesalah jalan raya

JPJ melaksanakan pelbagai siri operasi penguatkuasaan termasuk ke atas pemandu kenderaan perdagangan warga asing, bas ekspres dan kenderaan mewah. Gambar hiasan
JPJ melaksanakan pelbagai siri operasi penguatkuasaan termasuk ke atas pemandu kenderaan perdagangan warga asing, bas ekspres dan kenderaan mewah. Gambar hiasan
A
A
A

PUJIAN harus diberikan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah melaksanakan pelbagai siri operasi penguatkuasaan termasuk ke atas pemandu kenderaan perdagangan warga asing, bas ekspres dan kenderaan mewah.

Tindakan tegas tanpa kompromi ini mesti diteruskan dalam usaha memperkasa undang-undang jalan raya. Usah gentar dengan tohmahan kerana matlamatnya adalah demi keselamatan pengguna jalan raya.

Biarpun berdepan tonto atau ancaman ugutan, anggota operasi tetap tidak gentar menjalankan tugas yang diamanahkan.

Tidak dinafikan terdapat dakwaan di media sosial mengatakan JPJ hanya mengambil tindakan ke atas motosikal kapcai, namun sebenarnya bukan itu yang berlaku.

Bukan sahaja kenderaan ringan, malah semua jenis kenderaan akan 'disapu' JPJ sekiranya gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Satu demi satu taktik didedahkan. Misalnya, penahanan pemandu warga asing kenderaan perdagangan membongkar penggunaan lesen palsu selain terdapat individu yang sengaja culas membayar cukai jalan kenderaan mewah.

Penguatkuasaan sebegini harus diteruskan dan sudah tentu mendapat perhatian masyarakat. Apabila ada sahaja pembongkaran dibuat dari masa ke masa, barulah orang ramai dapat melihat cabaran sebenar yang dihadapi petugas penguat kuasa.

Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan sejak 2017 perlu dirombak secara besar-besaran selepas gagal dan tidak efektif sama sekali bagi menilai dan mendisiplinkan pemandu.

Kata beliau, kegagalan utama meliputi kaedah pemberian mata demerit kesalahan ke atas pesalah trafik. Kenyataan menteri ini sekali gus membuktikan satu tindakan serius perlu diambil dalam menangani kesalahan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu kelompongan dalam undang-undang akan dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Berdasarkan keterangan pemandu yang dikenakan saman, mereka lebih gemar memberi alasan terlupa dan sibuk bekerja sebagai jawapan bagi kesalahan tiada cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh.

Perkara remeh seperti ini mencerminkan sikap rakyat Malaysia di atas jalan raya. JPJ bersama Polis Diraja Malaysia wajar terus memperkasa penguatkuasaan agar pengguna jalan raya lebih berhemah ketika memandu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!