Suami isteri ditahan disyaki dera penghuni rumah perlindungan kanak-kanak

KAJANG - Sepasang suami isteri warga emas ditahan pihak polis selepas disyaki mendera penghuni di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua-dua suspek berusia 66 dan 68 tahun yang juga pemilik serta penjaga rumah perlindungan tersebut ditahan pada jam 3.20 petang.
"Kita telah menerima satu laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mendakwa dirinya telah ditampar di pipi kiri dan dimarahi oleh penjaga rumah perlindungan tersebut kerana enggan mendengar arahan pada jam 10.08 malam, 1 April lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Naazron berkata, selain laporan mangsa, dua lagi laporan turut diterima daripada saksi lain yang mendakwa pemilik rumah berkenaan melakukan penderaan emosi dan mental terhadap penghuni lain sebelum ini.
"Susulan itu, kesemua 18 kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun yang menghuni pusat berkenaan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut termasuk pemeriksaan kesihatan," katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan direman pada Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Ravin di talian 012-6269250 bagi membantu siasatan," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan anak yatim dipercayai dikurung di sebuah pusat jagaan di Cheras, di sini.
Menerusi hantaran video dimuat naik di Instagram, Malaysia Fight League, dia mendakwa kanak-kanak itu dikurung seperti haiwan di tingkat atas pusat jagaan berkenaan.
Dalam pada itu, JKM telah menyelamatkan 18 anak yatim yang dipercayai dianiaya di sebuah pusat jagaan swasta di Cheras pada petang Khamis.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari memaklumkan, pengusaha pusat jagaan berkenaan akan disiasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!