Kes culik warga Palestin: Saksi nafi dua tertuduh dipukul polis, dipaksa mengaku terlibat

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar hiasan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis hari ini menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dua tertuduh dalam kes penculikan lelaki warga Palestin telah dipukul dengan teruk oleh pasukan polis sehingga mereka mengalami kecederaan serius seperti lidah terkoyak ketika ditangkap di sebuah chalet di Hulu Langat, tiga tahun lepas.

Asisten Superintenden Mohamad Jazlan Sharif, 42, yang kini bertugas di bahagian Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkata demikian ketika disoal peguam Norma Goh Kim Lian pada perbicaraan kes penculikan lelaki warga Palestin dihadapi lapan tertuduh.

Mereka ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44, Mohamad Naziree Mustapha, 44, Faizull Hardey Mohd Isa, 45, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30, Mohd Zaidi Mohd Zain, 59, Nidarahayu Zainal, 39, Raibafie Amdan, 44, dan Edy Ko'im Said, 45.

Goh: Saya katakan kepada tuan semasa di bilik 110, tertuduh kelima (Mohamad Naziree) dan keenam (Faizull Hardey) telah dipukul dengan teruk oleh pasukan (polis) tuan sehingga mendapatkan kecederaan serius iaitu lidah terkoyak dan kecederaan di bahagian badan mereka. Mereka dipukul dan dipaksa untuk mengaku terlibat dalam kes culik yang mereka tiada kaitan. Setuju atau tidak?

Mohamad Jazlan: Saya tidak setuju.

Goh: Setuju dengan saya semasa tertuduh keempat (Tengku Arif Bongsu), kelima (Mohamad Naziree) dan keenam (Faizull Hardey) ditangkap di bilik 110, mereka tidak cuba melarikan diri dan Mohamad Jazlan menjawab benar.

Mohamad Jazlan, yang merupakan pegawai serbuan kes itu berkata pasukan polis menangkap suspek-suspek berkenaan adalah bertujuan untuk siasatan.

"Siasatan lanjut juga melibatkan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki Palestin dan dalam pengetahuan saya, tiada kaitan dengan pukul memukul," kata saksi pendakwaan ketiga itu semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.

Perbicaraan di hadapan Hakim K Muniandy bersambung 15 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah menahan mangsa berusia 31 tahun itu di lokasi dan waktu sama bagi mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Kelapan-lapan individu berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan membabitkan jumlah lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!