Kuala Lumpur sasar 256km laluan hijau menjelang 2040

Maimunah (lima dari kiri) bersama wakil-wakil ASEAN bergambar selepas melakukan simbolik penanaman pokok semasa Majlis Pelancaran Pelan Penghijauan Kuala Lumpur: Rangkaian Penghubung Taman di Jajaran Sungai Bunus, Wangsa Maju pada Khamis.
Maimunah (lima dari kiri) bersama wakil-wakil ASEAN bergambar selepas melakukan simbolik penanaman pokok semasa Majlis Pelancaran Pelan Penghijauan Kuala Lumpur: Rangkaian Penghubung Taman di Jajaran Sungai Bunus, Wangsa Maju pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan sasaran pembinaan 256 kilometer (km) laluan hijau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaras dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).

Unit Media Jabatan Perancangan Korporatnya memaklumkan, pembangunan laluan hijau secara berterusan itu merupakan inisiatif strategik yang menghubungkan taman utama, rizab sungai, hutan bandar dan ruang awam.

Menurut kenyataan, projek itu bertujuan meningkatkan keterhubungan ekologi, menggalakkan mobiliti aktif dan mampan, memperbaiki kualiti udara selain menyokong biodiversiti melalui penyediaan habitat semula jadi bagi flora dan fauna bandar.

"Pada masa sama, ia menyediakan ruang rekreasi mudah diakses yang menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental warga kota," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif melancarkan Pelan Penghijauan Kuala Lumpur: Rangkaian Penghubung Taman di Jajaran Sungai Bunus, Wangsa Maju.

Hadir sama, wakil-wakil Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang berada di Kuala Lumpur.

Acara itu diserikan dengan sesi penanaman pokok oleh wakil-wakil ibu negara ASEAN sebagai tanda komitmen bersama terhadap kelestarian alam sekitar sejajar dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur bandar raya hijau, berdaya huni dan berdaya tahan.

Ujar kenyataan, pelaksanaan projek itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu selama satu hingga dua tahun bagi jangka masa singkat, manakala sederhana pula memakan masa selama lima tahun dan jangka panjang sehingga 10 tahun.

"(Tempoh pelaksanaan projek ini) bergantung kepada aspek teknikal, pemilikan tanah dan penglibatan pihak berkepentingan," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan, rangkaian itu dibahagikan kepada enam zon perancangan iaitu Upper Sanctuary, North East Loop, Vital Hub, South Suburb Loop, West Urban Loop dan West Hill Loop.

"Kerja-kerja naik taraf termasuk laluan pejalan kaki dan berbasikal dengan ciri pintar mesra alam seperti lampu solar, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kawasan rehat dan Wi-Fi awam, manakala landskap menekankan kepelbagaian biodiversiti melalui penanaman pokok teduhan mengikut zon," jelas kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!