Laksana saja Titah Adendum, tak perlu ke Mahkamah Tinggi - Tok Mat

SEREMBAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat tiada keperluan untuk Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Jelas beliau, keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu jelas menunjukkan Titah Adendum berkenaan sememangnya wujud dan kini hanya perlu dilaksanakan.
"Jelas sekali dikatakan Titah Adendum itu wujud. Menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan, semakan mengenainya akan didengar di Mahkamah Tinggi sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.
"Tapi bagi saya tiada keperluan. Mengapa perlu ke Mahkamah Tinggi kerana ia telah dibuktikan wujud dan laksanakanlah. Kenapa susah sangat? Itu pandangan peribadi saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis Penyerahan Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Lavender Height di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan rayuan Peguam Negara (AG) berhubung keputusan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Susulan itu, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

