Asrama, hotel tidak perlu dikosongkan di Pahang: Sallehuddin

Sallehuddin (kanan) dan Abd Jalil (tengah) pada sidang akhbar Taklimat Khas Covid-19
Sallehuddin (kanan) dan Abd Jalil (tengah) pada sidang akhbar Taklimat Khas Covid-19
A
A
A

KUANTAN - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Pahang memutuskan semua asrama dan hotel tidak perlu dikosongkan selepas terdapat kekeliruan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan, baru-baru ini.

Pengerusinya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, mesyuarat yang diadakan membuat keputusan terbabit selepas meneliti beberapa tindakan yang boleh dilakukan.

"Terkini mengenai kekeliruan tentang hotel dan asrama. Mesyuarat semalam memutuskan semua asrama dan hotel tak perlu dikosongkan. Kita minta semua pihak yang mengeluarkan surat sebelum itu ditarik balik tapi penghuni jangan merayau keluar.

"Kerajaan negeri akan membuat kemas kini hebahan setiap hari bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai," katanya pada sidang akhbar Taklimat Khas Covid-19 Negeri Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan.

Taklimat Khas Covid-19 dan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang yang berlangsung pagi tadi di IPK Pahang.
Taklimat Khas Covid-19 dan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang yang berlangsung pagi tadi di IPK Pahang.

Sallehuddin berkata, pihaknya juga menetapkan arahan dan pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan diletakkan di bawah bidang kuasa Ketua Polis negeri bermula hari ini, bagi memudahkan atur gerak jawatankuasa itu agar lebih tersusun dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit, pihak polis telah diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan untuk melaksanakan pengawalan di semua daerah dan dibantu pegawai penguasa negeri serta kerajaan tempatan.

"Oleh itu, masyarakat diminta mematuhi semua arahan ketua polis daerah dan pegawai penguat kuasa,yang akan meninjau sejauh mana pematuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini.

"Semua perniagaan yang melibatkan hubungan terus dengan pelanggan, diarah tutup termasuk pasar malam, pasar pagi dan pasar lambak. Yang boleh hanya kedai runcit (jualan keperluan harian) pasar awam dan borong sahaja. Pejabat kerajaan juga ditutup melainkan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sallehuddin berkata, semua pihak termasuk peniaga dan kakitangan awam perlu mematuhi perintah kawalan pergerakan ini agar penularan wabak berjaya dikawal dan tiada kes baharu direkodkan di Pahang.

Menurutnya, dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memutuskan agar muadzin dibenarkan datang ke masjid dan surau untuk azan dan solat sendirian namun ditegah daripada mengadakan sebarang program keagamaan yang membabitkan jemaah ramai.

Katanya, bukan sahaja masjid dan surau bahkan semua pusat keagamaan lain turut ditegah daripada melakukan program seumpamanya kecuali urusan kematian sahaja, bagi mengelakkan penularan virus.

Dalam perkembangan lain katanya, negeri Pahang merekodkan tiga kes baharu Covid-19 semalam menjadikan 28 kes kesemuanya sejak ia dikesan di negeri ini bulan lalu.