Jabatan penjara sasar 8,500 banduan sertai penempatan sektor pekerjaan

Ahmad Faudzi (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke Pusat Pengurusan J&T Alam Megah dan meninjau program pemulihan di GRCC pada Selasa.
Ahmad Faudzi (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke Pusat Pengurusan J&T Alam Megah dan meninjau program pemulihan di GRCC pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Penjara Malaysia yakin mampu mencapai sasaran menempatkan 8,500 pemulihan banduan melalui penempatan pekerjaan di sektor swasta menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang berkata, setakat ini lebih 7,600 banduan sudah ditempatkan di luar penjara melalui pelbagai program sektor pekerjaan.

“Kita yakin jumlah sasaran itu mampu dicapai lebih awal, terutama dengan jangkaan 160 prospek yang akan ditempatkan di Seri Muda pada September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika sidang akhbar selepas lawatan ke Pusat Pengurusan J&T Alam Megah dan meninjau program pemulihan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) di sini pada Selasa.

Menurutnya, prospek yang bekerja di luar bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat, malah berjaya menurunkan kadar pengulangan jenayah kepada hanya 0.28 peratus.

“Selain memberi peluang kedua kepada mereka, program ini juga mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Tahun lalu sahaja, penempatan 21,000 prospek di luar penjara menjimatkan kira-kira RM29 juta kos makanan dan pengurusan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini hampir 700 majikan berdaftar dengan Jabatan Penjara bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada prospek, manakala kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui platform MyFutureJobs bakal menyediakan 4,000 peluang kerja menjelang hujung 2025.

Katanya, syarat kelayakan program antaranya prospek perlu menjalani separuh tempoh hukuman, berdisiplin, melepasi ujian psikologi dan bebas daripada ancaman keselamatan terhadap masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faudzi turut mengakui masih wujud stigma majikan terhadap bekas banduan, namun berharap lebih banyak pihak tampil menawarkan pekerjaan kerana kerajaan sedang meneliti insentif khas kepada majikan yang menggaji golongan ini dalam Belanjawan 2026.

“Pihak industri yang berjaya mengambil prospek ini boleh menjadi duta untuk meyakinkan majikan lain bahawa mereka mampu bekerja dengan baik dan memberi manfaat kepada syarikat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!